Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raih keberkatan sebelum mulakan hari

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    Bandar Seri Begawan, 22 Jan – ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ merupakan program bersempena acara Bandarku Ceria bagi memberi peluang kepada pengunjung memulakan langkah dan keceriaan hari dengan meraih keberkatan melalui tuntutan sembahyang fardu berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang dan kegiatan keagamaan yang telah diaturkan.

    Program hari ini telah diserikan dengan tazkirah bertajuk ‘Keberkatan Waktu Subuh’ yang disampaikan oleh Pegawai Pusat Dakwah Islamiah, Haji Badaruddin bin Haji Basar.

    Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan datin; setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap serta para pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Program yang diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien itu dikelolakan oleh KHEU melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pusat Dakwah Islamiah dan Bahagian Kemajuan Syiar Islam dengan kerjasama Masjid Omar ’Ali Saifuddien.

    Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri turut sama-sama mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Haji Badaruddin.
    Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri turut sama-sama mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Haji Badaruddin.

    Menurut kenyataan Jabatan Hal Ehwal Masjid, program berkenaan merupakan satu ajakan bagi mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran bagi memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan sembahyang fardu Subuh secara berjemaah di masjid.

    Dalam kenyataan itu, Jabatan Hal Ehwal Masjid menekankan bahawa masjid adalah ibarat rumah Allah dan menghadirkan diri beribadah ke masjid serta mendirikan sembahyang secara berjemaah itu mempunyai kelebihan darjat berbanding sembahyang secara perseorangan.

    Kehadiran jemaah memakmurkan rumah Allah diharapkan akan dapat menghidupkan amalan sunnah Baginda Rasulullah S.A.W dan dapat menimbulkan rasa persamaan di antara umat Islam dalam melaksanakan sembahyang berjemaah dan amal ibadat bersama-sama.

    Makmurnya masjid-masjid di negara ini adalah antara landasan kita bagi menggandakan amal kebajikan dan meraih keberkatan dari Allah S.W.T bagi diri kita, keluarga dan juga negara, menurut kenyataan itu lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda