Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Raih kurnia Allah SWT

    Oleh Yusrin Junaidi & Nurdiyanah R
    Gambar serahan KHEU dan MRSB

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JAN – Orang-orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT benar-benar memahami bahawa kehidupan di dunia ini adalah singkat dan sementara, dan dunia ini adalah tempat meninggal, bukan tempat tinggal yang hakiki.

    Oleh itu, mereka sentiasa rindu akan rahmat Allah SWT dalam setiap detik kehidupan.

    Antara tanda rahmat Allah SWT kepada hambaNya adalah tatkala hambaNya memiliki perasaan mencintai istighfar. Mereka ini mempunyai keinginan, kegemaran dan kesenangan akan beristighfar kepada Allah SWT.

    Perkara itu adalah antara pengisian tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid dari Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) semasa Majlis Malam Munajat anjuran KHEU, malam tadi, yang diadakan bagi minggu ketiga tahun ini dan minggu ke-18 sepanjang ia diadakan.

    Beliau menambah, hamba Allah yang mencintai istighfar itu ialah hamba yang sentiasa mendapatkan kurniaan Allah. Manakala para ahli maksiat yang diselimuti oleh dosa-dosa mereka enggan beristighfar atau terkadang lalai untuk beristighfar.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menghadiri Majlis Malam Munajat anjuran KHEU baru-baru ini.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan’ hadir secara maya pada majlis munajat dari MRSB, Kampung Sungai Akar.

    Beliau mengingatkan semua untuk sentiasa beristighfar, mudah-mudahan kita menjadi hamba Allah yang terpilih.

    Majlis minggu ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan, lebih-lebih lagi dengan penyertaan daripada para jemaah masjid yang mengikuti dari ruang masjid masing-masing sebagai aktiviti takmir masjid di mana sebanyak 30 buah masjid seluruh negara mengikutinya secara maya. Turut hadir menyerikan majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Sementara itu, hadir secara maya dari Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku penaung bersama MRSB.

    Majlis telah dimulai dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah oleh Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai yang dipimpin oleh Pegawai Pelajaran, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Zulhafiz bin Haji Awang Tengah.

    Doa Munajat pula dibacakan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Arif Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan. Malam Munajat kali ini turut disertai oleh penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam di Universiti Al-Azhar yang memimpin bacaan Zikir Taubat secara langsung dari Kaherah, Mesir.

    Malam Munajat mengajak warga KHEU dan orang ramai untuk bersama-sama memohon keampunan dari Allah SWT dengan bermunajat, beristighfar, membaca Surah Yasin, berzikir, berselawat, merafa’kan doa dan diamiinkan secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar rakyat dan Negara Brunei Darussalam terhindar dan terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit berbahaya, khasnya wabak COVID-19.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...