Raih pahala berlipat ganda

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Dalam usaha meringankan beban dan dapat menampung perbelanjaan anak-anak yatim semasa menyambut bulan Syawal yang hanya tinggal beberapa hari saja lagi, Majlis Perundingan Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong telah mengadakan majlis penyampaian derma anak-anak yatim dan makanan asasi, hari ini.

Majlis anjuran bersama Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) itu diadakan secara pandu lalu di hadapan Ibu Pejabat PBMP.

Dengan adanya sumbangan berkenaan, anak-anak yatim dihasratkan supaya dapat membelanjakannya dengan sebaiknya sekali gus dapat menabung bagi kegunaan pada masa hadapan.

Sumbangan disampaikan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman yang juga pemangku penghulu Mukim Serasa dan ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong.

Turut hadir ialah Ketua Eksekutif PBMP, Haji Mohd Salihin bin Haji Aspar.
Sumbangan wang tunai dan bara-ngan asasi yang dihulurkan itu adalah hasil sumbangan daripada penduduk kampung, orang ramai dan syarikat perniagaan.

Ia diharap dapat membantu anak-anak yatim dalam menyambut bulan Syawal selain meraih pahala yang berlipat ganda dalam bulan Ramadan yang mulia ini sekali gus mendapatkan keredaan dari Allah SWT.

Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim secara pandu lalu.
Antara sumbangan yang diagihkan kepada penerima.