BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Kementerian Tenaga (Energy) dan Perindustrian, hari ini, telah mengadakan Majlis Tadarus Al-Quran di Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad, Kampung Setia.
Hadir pada majlis itu ialah Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussien; Timbalan Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian, Dato Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw; Setiausaha Tetap (Tenaga dan Perindustrian), Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah; Setiausaha Tetap (Tenaga Manusia dan SHENA), Haji Kamaludin bin Haji Bungsu; Timbalan Setiausaha Tetap (Kuasa Elektrik, IT dan E-Kerajaan), Pengiran Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengurusan, Koperasi dan Perindustrian), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Tenaga (Energy) dan Perindustrian, Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) dan Darussalam Enterprise (DARe) serta penduduk Kampung Setia dan Mukim Sungai Kebun.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan bacaan surah-surah Al-Quran, Doa Tahlil dan Doa Selamat beramai-ramai. Majlis kemudiannya diakhiri dengan majlis berbuka puasa dan solat fardu Maghrib berjemaah.
Majlis yang diadakan dengan kerjasama Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad itu merupakan salah satu usaha kementerian untuk menggalakkan aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan selain mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan warga kementerian dan juga penduduk kampung.
