Friday, February 14, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raih pahala dengan majlis bertadarus

    Oleh Imelda Groves HA & Yusrin Junaidi

    Gambar oleh Hakim Hayat & Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mei – Majlis-majlis tadarus terus giat diadakan oleh pelbagai pihak di negara ini dalam meraih pahala yang berlipat kali ganda dari Allah SWT dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

    Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran juga telah diadakan bagi kumpulan-kumpulan belia Program Keugamaan Belia di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang berlangsung di kediaman Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, hari ini.

    Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Serudin bin Haji Timbang; pegawai-pegawai kanan KHEU dan ahli-ahli jawatankuasa takmir beberapa buah masjid yang berdekatan.

    Tujuan majlis diadakan ialah bagi menyemarakkan bulan Ramadan dengan bertadarus dan khatam Al-Quran di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara belia seluruh negara.

    Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyertai Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran yang berlangsung di kediaman Yang Berhormat Pehin.
    Antara yang menyertai Majlis Bertadarus dan Majlis Khatam Al-Quran di kediaman Menteri Hal Ehwal Ugama.
    Sekitar majlis bertadarus yang diadakan di kediaman Menteri Hal Ehwal Ugama.
    Para belia yang menghadiri majlis bertadarus.

    Sementara itu, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan jabatan-jabatan di bawahnya pula telah mengadakan Majlis Tadarus sempena bulan Ramadan tahun 1439H/2018M di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Kampung Bebatik/Kilanas.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di KSSUP, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Timbalan Setiausaha Tetap di KSSUP, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali; ketua-ketua jabatan, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan KSSUP dan jabatan-jabatan di bawahnya serta ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid berkenaan.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan wakaf berupa tikar sembahyang sebagai tambahan kepada yang sedia ada bagi kegunaan di masjid berkenaan.

    Wakaf disampaikan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan kepada Ketua Imam Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Kampung Bebatik/Kilanas, Awang Rozisham bin Haji Chuchu.

    Rombongan KSSUP dan jabatan-jabatan di bawahnya akan meneruskan majlis tadarus berkenaan pada 30 Mei ini di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar.

    Majlis berkenaan merupakan aktiviti tahunan KSSUP dan jabatan-jabatan di bawahnya pada bulan Ramadan yang bertujuan untuk menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang mubarak di samping mendapatkan keberkatan serta ganjaran pahala dari Allah S.W.T.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menyampaikan wakaf kepada Ketua Imam Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali turut menyertai Majlis Tadarus di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
    Antara yang menghadiri majlis bertadarus di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Mat Suny dan Dato Paduka Haji Matsatejo menyertai majlis bertadarus yang diadakan di Masjid Kampung Kilanas.

    Manakala itu, Kementerian Tenaga (Energy) dan Perindustrian dan jabatan-jabatan di bawahnya pula meneruskan Majlis Tadarus Al-Quran di Masjid Kampung Kilanas, hari ini.

    Hadir bagi menyemarakkan majlis ialah Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku penaung Masjid Kilanas; Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussien dan Ketua Kampung Kilanas, Haji Mohd Rais bin Haji Sabtu.

    Juga hadir mewakili Kementerian Tenaga (Energy) dan Perindustrian ialah Timbalan Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian, Dato Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw, Setiausaha Tetap (Tenaga dan Perindustrian), Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah; Setiausaha Tetap (Tenaga Manusia dan SHENA), Haji Kamaludin bin Haji Bungsu; Timbalan Setiausaha Tetap (Kuasa Elektrik, IT dan E-Kerajaan), Pengiran Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pengurusan, Koperasi dan Perindustrian), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.

    Majlis turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Tenaga (Energy) dan Perindustrian, Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) dan Darussalam Enterprise (DARe) serta penduduk Kampung Kilanas.

    Antara objektif majlis berkenaan adalah bagi mengukuhkan lagi ukhuwah dalam kalangan warga kementerian, JPE, DARe dan penduduk Kampung berkenaan di samping meningkatkan amal ibadat dalam bulan Ramadan.

    Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan jabatan-jabatan dibawahnya pula telah mengadakan Majlis Tadarus, Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Wakaf di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar.

    Hadir mengetuai rombongan KKBS pada majlis berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Majlis dimulakan dengan acara bertadarus diikuti dengan penyampaian sumbangan wakaf KKBS oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan kepada imam masjid.

    Majlis berkenaan merupakan aktiviti tahunan bagi mengeratkan silaturahmi dan mahabbah dalam kalangan warga KKBS.

    Ia juga dihasratkan sebagai sumbangan kemasyarakatan sekali gus memastikan penglibatan berterusan dalam mengungkayahkan aktiviti keagamaan dan berkebajikan, terutamanya dalam bulan Ramadan yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda