Raih pahala pada bulan Ramadan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Dalam meraih keberkatan dalam bulan Ramadan yang mulia ini, Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran telah diadakan di kediaman Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), di KHEU, Haji Serudin bin Haji Timbang, pegawai-pegawai kanan KHEU serta ahli-ahli jawatankuasa takmir di beberapa buah masjid yang berdekatan.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, kemudian diteruskan dengan bacaan tadarus oleh para peserta yang mengambil bahagian.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menyertai Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran. – Gambar oleh Muiz Matdani

Setelah itu, bacaan Takhtim Al-Quran dipimpin oleh pegawai-pegawai hal ehwal masjid dan Doa Khatam pula dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awangku Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Selahuddin.

Sementara itu, bacaan Tahlil dan Doa Arwah pula dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Haji Abd Aziz bin Haji Abdul Ghani.

Sebelum bersungkai dan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah, majlis tersebut diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.