Raih pengalaman berguna

Oleh Daniel Lim

KUALA BELAIT, 9 Nov – Dua kakitangan tempatan dari Aker Solutions telah diberikan peluang unik untuk melawat Norway sebagai sebahagian daripada Program Latihan Kerja Antarabangsa syarikat berkenaan.

Pegawai Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (HSSE), Michelle Two Mei Ling dan Jurutera Jaminan Kualiti dan Kawalan Kualiti, Awang Mohd Noor Shukur bin Haji Jayah telah dipilih bagi mengikuti program berkenaan yang berfungsi sebagai platform bagi kakitangan terpilih untuk belajar mengenai operasi-operasi dijalankan luar negara dan sebagainya di limbungan Aker Solutions di Egersund, Norway.

Pengarah Projek Aker Solutions di Brunei, Bjorn Viken dipetik sebagai berkata, “Kami komited untuk mengongsi pengetahuan kami dengan kakitangan di Brunei. Ini juga merupakan sebahagian daripada sumbangan sosial kami kepada negara di mana kami berusaha untuk meningkatkan kemahiran penduduk Brunei dan memperkenalkan teknologi ke negara ini.

“Kami juga mempunyai banyak pengalaman dalam teknologi air dalam yang bermanfaat untuk Brunei pada tahun-tahun mendatang,” tambah beliau.

Dengan program latihan pertama yang disertai, Michelle dan Awang Mohd Noor Shukur teruja untuk melihat operasi-operasi Aker Solutions di luar Brunei dan bagaimana limbungan di Egersund berfungsi, serta belajar mengenai perbezaan-perbezaan.

Berjalan selama dua bulan bermula 12 Oktober lalu hingga 21 Disember, latihan berkenaan direka oleh kakitangan di Egersund di mana mereka akan mendapat wawasan mendalam mengenai bagaimana tugas mereka dilaksanakan di limbungan berkenaan.

Di samping mempelajari mengenai operasi-operasi yang dilaksanakan di Egersund, kedua-dua mereka juga akan dapat bertugas bersama warga Norway sekali gus membantu mewujudkan hubungan lebih erat antara kedua-dua buah negara apabila mereka terus bekerjasama dan berkongsi maklumat sepanjang latihan tersebut.

Program berkenaan juga merupakan usaha berterusan syarikat berkenaan untuk membantu memahirkan kakitangan mereka untuk menyediakan pengurusan penyelenggaraan dan pengubahsuaian yang lebih baik bagi Syarikat Minyak Brunei Shell menerusi projek Offshore, Reliability, Maintenance and Construction (ORMC) yang telah dilaksanakan sejak 2012.

Salah seorang kakitangan tempatan dari Aker Solutions telah diberikan peluang unik untuk melawat Norway sebagai sebahagian daripada Program Latihan Kerja Antarabangsa syarikat berkenaan. – Gambar oleh Aker Solutions