Raih pengalaman berharga

Oleh Fadhil Yunus

MELAKA, MALAYSIA, 6 NOV – Pelumba basikal dari Universiti Teknologi Brunei (UTB), Dr Haji Fahmi Ibrahim, yang mewakili institusi tempatan berjaya menamatkan perlumbaan pada Cabaran Basikal Varsiti 2019 yang diadakan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), baru-baru ini.

Cabaran tersebut turut disertai oleh enam lagi ahli pasukan basikal dari Brunei Darussalam iaitu Zainidi bin Abdul Hamid, Dr Haji Khairul Jaafar bin Masri, Dr Ahmad Syamaizar bin Ahmad Sabli, Hamdani Haji Ibrahim, Osman Haji Suhaile dan Syazwi Azhar bin Hairolrani.

Perlumbaan tersebut meliputi jarak sejauh 40km di sekitar kampus UTeM, di mana ia bermula dan berakhir di Dewan Cancelor UTeM.

Dr Ahmad Syamaizar, yang membuat kemunculan sulungnya pada cabaran tersebut berkata bahawa ia merupakan perlumbaan yang penuh dengan cabaran terutama ketika melalui kawasan sukar di sepanjang perlumbaan.

Manakala itu, seorang lagi pelumba, Zainidi berkata bahawa meskipun sibuk dengan komitmen kerja, tetapi mereka tetap mencari masa terluang untuk mengadakan latihan menjelang perlumbaan itu diadakan.

Gambar serahan Dr Haji Fahmi menunjukkan beliau bergambar ramai bersama rakan sepasukannya.

“Kami berjaya meraih kejayaan dan berhasil mencapai prestasi yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya memandangkan tahap perlumbaan yang agak kompetitif. “

Sementara itu, menurut seorang lagi pelumba, Hamdani, “Walaupun saya agak kecewa kerana tidak memenangi perlumbaan ini tetapi saya merasa gembira dengan prestasi persembahan saya. Kami berlumba sebagai sebuah pasukan dan berada dalam kedudukan yang baik.”

Manakala itu, Syazwi Azhar, yang merupakan wakil tunggal bagi kategori pelajar dari UTB, berdepan dengan kesukaran apabila berhadapan dengan kecederaan semasa perlumbaan itu diadakan.

“Saya kecewa kerana saya sudah berada dalam kedudukan yang baik. Perlumbaan itu agak cepat di mana kelajuan purata saya ialah 41kmsj,” tambahnya.

Cabaran berbasikal itu disertai lebih 200 peserta dari pelbagai universiti di Malaysia seperti UTeM, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta beberapa universiti swasta, kolej dan sekolah sukan.