Raih pingat emas pertama e-Sukan

MANILA, 9 DIS – Seorang ahli akademik, Dr Yew Weng Keng mencipta sejarah sebagai atlet pertama Malaysia memenangi pingat emas e-Sukan pertama, di Sukan SEA di Filoil Flying V Centre, San Juan, hari ini.

E-Sukan merupakan satu acara yang buat pertama kalinya dianjurkan di Sukan SEA, dan atlet yang berusia 29 tahun itu memenangi emas bersejarah itu bagi permainan Hearthstone, dengan menewaskan peserta Thailand Werit Popan 3-1 untuk pingat emas.

Pemegang Doktor Falsafah (PhD) dalam Kejuruteraan Elektronik yang juga seorang penolong profesor di Universiti Heriot Watt, Malaysia, juga menolak persepsi mereka yang menghabiskan masa bermain permainan elektronik tidak boleh berjaya dalam pendidikan dan kerjaya dengan berjaya dalam kedua-duanya.

Lebih dikenali dengan nama wkyew90, Yew memulakan perlawanan dengan memenangi permainan pertama, namun kalah permainan kedua dan terikat kedudukan 1-1. Pada permainan ketiga, beliau menghadapi persaingan sengit lebih daripada setengah jam, untuk mendapatkan mata kedua, sebelum memenangi perlawanan keempat dengan mudah, untuk menang 3-1.

“Pingat emas ini, amat bermakna untuk saya dan Malaysia, kerana ini pingat emas pertama negara dalam e-Sukan dalam sejarah Sukan SEA. Rasa kagum, gembira dan bersyukur … saya percaya saya dapat mencipta sejarah, dengan menyumbangkan satu pingat emas kepada negara dan saya amat gembira untuk memenanginya.

Hearthstone merupakan satu permainan dalam talian berdasarkan kepada permainan kad berstrategi yang dimainkan antara dua orang. – Bernama

Atlet e-Sukan Malaysia Yew Weng Kean menunjukkan pingat emas yang dimenanginya selepas menentang Popan Werit dari Thailand dalam acara Hearthstone Akhir di Sukan SEA Filipina di Pusat Filoil Flying V. – Bernama