Sunday, January 19, 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raih sumber pendapatan

    Oleh Ahmad Erwan Othman

     

    BAGAN DATUK, 24 Jun – Ilmu membuat patung harimau yang diperoleh selama tiga tahun menjadi penghuni tirai besi di Thailand kini menjadi sumber pendapatan sampingan untuk menyara keluarga.

    Bekas banduan yang hanya ingin dikenali sebagai Jeem, 49, yang meringkuk kerana kesalahan rasuah 13 tahun lalu memanfaatkan ilmu serta pengetahuan tersebut sehingga membolehkannya meraih pendapatan lebih RM5,000 sebulan terutama ketika musim buah.

    Peniaga jalanan ini yang mempamerkan patung harimau itu di atas bumbung keretanya, berkata patung harimau seberat dua kilogram yang dihasilkannya itu boleh digunakan untuk menghalau haiwan liar di kebun terutama kera, lotong dan monyet.

    “Saya sedar status sebagai bekas banduan susah hendak mendapat pekerjaan, maka sebaik tamat menjalani hukuman pada 2005, saya buat dan jual patung harimau ini sebagai mata pencarian untuk menanggung keluarga.

    Jeem menjual patung harimau bagi menghalau haiwan liar di kebun terutama kera, lotong dan monyet sebagai mata pencarian ketika ditemui berniaga di tepi Jalan Hutan Melintang-Bagan Datuk baru-baru ini. – Bernama

    “Setakat ini ada sahaja permintaan dan purata saya mampu jual antara 20 hingga 30 patung harimau sebulan yang rata-ratanya dibeli oleh pemilik kebun kelapa, dusun buah-buahan dan ada juga membelinya untuk tujuan perhiasan,” katanya ketika ditemui Bernama berniaga di tepi jalan Hutan Melintang-Bagan Datuk di sini, baru-baru ini.

    Menurut Anak jati Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, Selangor itu patung harimau yang dihasilkannya dijual pada harga antara RM150 hingga RM200 bergantung kepada beberapa kelebihan masing-masing.

    “Ada patung yang dipasang dengan sensor elektronik dan bateri, bagi membolehkannya mengeluarkan bunyi harimau mengaum apabila mendengar suara kera atau monyet untuk menakutkan haiwan tersebut sehingga lari,” katanya yang menjual lebih 300 patung pada musim buah tahun lepas. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda