Saturday, January 28, 2023
23.2 C
Brunei

-

Raih ukhrawi dengan Kalam Allah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Majlis zikir merupakan majlis yang menyebut dan mengingati Allah SWT semata-mata dengan membaca Yasin, Sayyidul Istighfar, membaca Asma’ Al-Husna, berselawat ke atas Nabi SAW, berdoa dan bertazkirah.

Sehubungan itu, majlis munajat mingguan kelolaan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) adalah majlis yang diberkati kerana isinya tidak lain hanya memuji Allah SWT, kata Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned semasa menyampaikan tazkirah sempena genap setahun penganjuran Malam Munajat anjuran KHEU di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman. Ia turut dihadiri oleh menteri-menteri kabinet lain.

Yang Berhormat Mufti Kerajaan dalam tazkirahnya turut menyentuh antara banyak zikir, terdapat kepala zikir iaitu Al-Quran yang dinamakan kalam Allah, mengatasi kalam-kalam lainnya.

“Bayangkan, semua makhluk ada bahasa, termasuk makhluk malaikat, jin, manusia dan binatang, namun kalam Allah (perkataan Allah) tetap tidak dapat ditandingi oleh mana-mana jua kalam para makhluk itu. Inilah namanya mukjizat Al-Quran, kalam Allah,” tegas Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

Menteri-menteri kabinet semasa menghadiri majlis munajat khas di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong, kelmarin. – Gambar oleh Azlan Othman

Beliau turut menjelaskan kehebatan mukjizat Al-Quran kepada manusia termasuk mengetahui pelbagai hikmah dan kebajikan yang dapat diraih dengan membaca Al-Quran daripada dua kebajikan iaitu duniawi dan ukhrawi.

Beberapa hadis riwayat sahih turut membuktikan bahawa para sahabat pernah menggunakan Surah Al-Fatihah untuk mengubat orang dipatuk ular atau disengat kala jengking, orang sawan dan orang gila yang mana semuanya itu sembuh dengan Al-Fatihah.

Dalam tazkirahnya, Yang Berhormat Mufti Kerajaan turut menekankan seluruh kebajikan ukhrawi mampu diraih dengan Al-Quran dan selaku umat Islam, kita dituntut supaya pandai membaca Al-Quran kerana jika tidak, kita akan rugi dan kempunan untuk menikmati kebajikan ukhrawi.

Untuk pandai membaca Al-Quran, tentu sahaja boleh dengan belajar yang bersangkutan dengan kewajipan dan peranan ibu bapa.

“Ibu bapalah yang menjadi punca atau sebab bagi anak-anak pandai atau tidak pandai membaca Al-Quran. Jika ibu bapa mempunyai wawasan yang baik, sudah barang tentu mereka tidak akan membiarkan anak-anak kosong Al-Quran, lalu jadilah mereka keluarga yang bertuah kerana anak-anak pandai membaca Al-Quran,” tegasnya.

Yang Berhormat Mufti Kerajaan turut menyentuh mengenai zikir yang juga bukan mudah tetapi berat untuk dibuat oleh orang yang tidak mahu belajar, meskipun terdapat zikir-zikir ringkas atau pendek, tetapi lidah berat dan hati tidak jinak untuk mengucapkannya.

Untuk itu, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada KHEU kerana mengungkayahkan munajat sebagai satu inisiatif mempelopori budaya zikir.

Yang Berhormat Mufti Kerajaan berharap semoga rancangan ini akan dapat mencetuskan kesedaran dan semangat suka berzikir dalam kalangan ummah, dan jika ini berlaku, menurutnya bererti kitalah warga sebuah negara di dunia yang benar-benar menyahut seruan dan perintah Allah.

“Marilah kita meriahkan bumi Darussalam ini dengan zikir. Kita tanai ia dengan zikir. Kita hias ia dengan zikir. Kita rawat ia dengan zikir. Kita pagar ia dengan zikir. Insya Allah, dengan berpagarkan zikir itu, negara kita Brunei Darussalam akan terus selamat, akan terus aman lagi sejahtera,” tegasnya.

Artikel sebelum iniKHEDN hargai jasa pesara
Artikel seterusnyaLembaga TAP umum dividen 2.5%
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea S sokong hantar bantuan kepada Korea U

SEOUL, 27 JAN – Kerajaan Korea Selatan hari ini berkata bahawa ia akan membantu usaha orang awam untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Korea Utara...
- Advertisment -