Raihan & Alif Satar berkolaborasi lagi

Sejak kejayaan kolaborasi sebelum ini, Raihan dan Alif berjaya meraih lebih 19 juta tontonan di YouTube dengan menghasilkan lagu duet berjudul Sesungguhnya 2019. Kini kumpulan nasyid popular tersebut sekali lagi berkola-borasi bersama Alif Satar.

Namun, kumpulan Raihan merahsiakan butiran projek lagu duet bersama penyanyi Alif Satar yang siap dirakam, baru-baru ini. Salah seorang anggotanya, Abu Bakar Mohd Yatim berkata, langkah merahsiakan projek itu dibuat atas permintaan Alif yang juga penggerak utama rancangan berkenaan.

“Lagu yang dipilih adalah lagu lama Raihan. Namun, judulnya Alif minta kami rahsiakan. Dia mahu umumkan sendiri. Apabila dia pilih lagu ini untuk dinyanyikan, kami terkejut kerana hanya peminat tegar sahaja yang tahu lagu ini.

“Namun, tidak mustahil Alif tahu lagu ini kerana dia adalah peminat tegar Raihan iaitu sejak zaman dia belajar di London, United Kingdom (UK) lagi,” katanya kepada media.

Abu Bakar berkata, satu lagi kejutan, mereka menampilkan individu yang dirahsiakan dalam video muzik single berkenaan.

“Siapa individu itu dan bila lagu ini dilancarkan, semuanya akan diumumkan oleh Alif.

“Kami sebagai abang, hanya menyokong usahanya itu,” katanya. Bercerita mengenai proses rakaman lagu itu, Abu Bakar berkata, mereka menyiapkan rakaman dalam tempoh lapan jam.

“Kami masuk studio jam 10 malam dan selesai kira-kira jam 6 pagi keesokannya. Keluar sahaja dari studio, azan Subuh berkumandang.

“Sedaya-upaya kami beri yang terbaik daripada segi vokal dan susunan muzik,” katanya. – Agensi

Kumpulan Raihan sekali lagi berkolaborasi dengan Alif Satar untuk menghasilkan lagu duet daripada lagu lama kumpulan itu tersendiri. – Agensi