Raikan kegemilangan DPMM FC

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Brunei DPMM FC telah berkenan berangkat ke Malam Sambutan Kemenangan Majalah Brunei DPMM FC MatchDay dan Anugerah Pilihan Pembaca 2019 di Hotel Radisson, di ibu negara, hari ini.

Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Turut berangkat ialah anakanda-anakanda DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah.

Menjunjung keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Sejurus keberangkatan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan kerabat diraja berkenan bergambar ramai bersama tetamu-tetamu khas dan pihak pengurusan DPMM FC, diikuti dengan penandatanganan gambar kenang-kenangan.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah berkenan dijunjung bergambar ramai bersama tetamu khas.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menyampaikan anugerah kepada Wardun Yusuf.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyampaikan anugerah kepada Blake Ricciuto.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menyampaikan Anugerah Pemain Paling Popular.
Dayang Nurul Adibah Hamdani menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang rakan kongsi majalah tersebut.
Salah satu persembahan bertenaga yang memeriahkan lagi majlis tersebut.

Majlis yang dianjurkan oleh AKK Design berkenaan bertujuan untuk meraikan Brunei DPMM FC selaku juara Liga Perdana Singapura (SPL) 2019 yang mana ini merupakan kali kedua pasukan berkenaan meraih gelaran juara tersebut.

Selain para pemain yang telah berjaya meraih kejuaraan, majlis turut meraikan ahli-ahli pasukan majalah ‘Brunei DPMM FC MatchDay’ yang telah bertungkus lumus bekerja di belakang tabir bagi memastikan salinan majalah dicetak tepat pada waktunya pada setiap perlawanan di tempat sendiri.

Sehubungan itu, pelbagai jenis anugerah telah disampaikan pada majlis tersebut antaranya The Best MatchDay Contributor Award, Best MatchDay Photoshoot Award, Best #DPMMfcMatchDay Fan Photo Award, The MatchDay Most Popular Player Award, The Cuckoo Most Voted MatchDay Front Cover Award, The Cuckoo New Kid on the Field Award, The MatchDay Spectacular Goal Award, The Progresif Most Engaging Social Media Account Award, The Progresif – MatchDay Magazine Special Recipient Award dan The Brunei DPMM FC MatchDay Magazine Lifetime Players Award.

Pada majlis tersebut, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung untuk mengumumkan dan menyampaikan Anugerah The Progresif – MatchDay Magazine Special Recipient kepada Cheah Swee Ming dan Syazwan Taib, dan Anugerah The Brunei DPMM FC MatchDay Magazine Lifetime Player kepada Shahrazen Said dan Wardun Yussof.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik pula dijunjung bagi mengumumkan dan menyampaikan Anugerah The MatchDay Spectacular Goal kepada Blake Ricciuto.

Manakala itu, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dijunjung bagi mengumumkan dan menyampaikan Anugerah The MatchDay Most Popular Player kepada Blake Ricciuto.

Majlis juga menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan-rakan kongsi, penyokong dan penyumbang majalah MatchDay yang disempurnakan oleh Ketua Projek Majalah Brunei DPMM FC MatchDay, Dayang Adibah Hamdani.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Lim Hong Huai, warga pengurusan Brunei DPMM FC serta pasukan dan pemain Brunei DPMM FC serta tetamu jemputan.