Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Raikan pencapaian wanita

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Ketika negara semakin maju, peranan wanita dalam pembangunan negara menjadi semakin penting di mana sebahagian besar golongan wanita sekarang terlibat dalam pekerjaan di luar rumah.

    “Peranan mereka tidak lagi terhad di rumah sebagai ibu atau isteri tetapi juga dalam pelbagai aktiviti pekerjaan di luar rumah daripada aktiviti tidak formal hinggalah ke bidang profesional seperti pendidikan, keagamaan, perubatan, kejuruteraan, perbankan, perundangan dan sebagainya,” tekan khatib semasa khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Raikan Pencapaian Wanita’.

    Oleh itu, kata beliau, sejajar dengan kedudukan wanita sebagai nadi dalam sesebuah keluarga dan mendukung pembangunan negara, pencapaian wanita itu perlu diraikan dalam pelbagai aspek.

    Di Negara Brunei Darussalam, kepentingan peranan wanita dalam pembangunan sosioekonomi negara diiktiraf sepenuhnya di samping mengakui kesaksamaan hak dan pemerkasaan wanita.

    Katanya lagi, “Brunei adalah sebuah negara yang sentiasa mengelinga seluruh lapisan rakyatnya, apatah lagi terhadap kaum wanita.”

    Pada 8 Mac setiap tahun, Hari Wanita Antarabangsa disambut yang antara tujuannya untuk meraikan pencapaian wanita di seluruh dunia dalam aspek sosial, ekonomi, budaya dan politik.

    Tema sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2022, ‘Kesaksamaan Jantina Hari ini untuk masa depan yang mampan’.

    Peranan dan sumbangan wanita di negara ini, jelasnya lagi, adalah sangat penting bagi pembangunan sosioekonomi dan pemeliharaan keamanan dan keselamatan.

    Menurutnya, mereka telah sama-sama berganding bahu bagi mencapai kemajuan ekonomi, kesejahteraan keluarga sosial dan kemakmuran negara.

    “Sebagai umat Islam marilah kita mencontohi Rasulullah SAW dalam menyantuni golongan wanita, muliakan, hormati dan sayangi mereka sebagaimana yang telah ditetapkan dalam agama Islam,” jelasnya.

    Allah menciptakan manusia daripada kalangan lelaki dan wanita dengan kepelbagaian bangsa dan budaya bagi tujuan saling melengkapkan antara satu sama lain.

    Menurut pandangan Islam, semua manusia itu sama ada lelaki atau wanita, tidak dibezakan dari segi darjat, keturunan mahupun kedudukan melainkan nilai ketakwaan di sisi Allah. Wanita diciptakan Allah memiliki sifat lemah lembut, penyayang, berjiwa halus dan mempunyai tahap kesabaran yang tinggi.

    “Mereka juga mampu menjadi suri rumah yang baik, pekerja yang rajin, isteri yang taat serta ibu yang penyayang dan penyabar dalam melayani ragam keluarga dan anak-anak,” tambahnya.

    Walaupun wanita itu adalah makhluk ciptaan Allah yang berbeza dengan golongan lelaki dari segi ketahanan dan kekuatan fizikalnya, tapi mereka mempunyai hati dan semangat yang cekal dan kental, ujarnya.

    Dalam hadis Baginda SAW ada menyebutkan mengenai wanita boleh dijadikan sebagai contoh supaya dapat menjadi ikutan kepada wanita pada masa kini.

    Rasulullah SAW dalam hadis Baginda menjelaskan, sebaik-baik orang itu adalah orang yang berbuat dan memperlakukan baik kepada wanita dan ini jelas menunjukkan, wanita itu seharusnya dimuliakan, dihormati dan disayangi.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...