Raikkonen positif COVID-19, tidak beraksi di GP Belanda

ZANDVOORT, BELANDA, 5 SEPT – Pelumba Finland, Kimi Raikkonen positif COVID-19 dan tidak dapat beraksi di Grand Prix Belanda, umum pasukannya Alfa Romeo dan penganjur perlumbaan.

Sementara itu, pelumba Red Bull, Max Verstappen dipanggil oleh jawatankuasa perlumbaan sebelum sesi latihan terakhir semalam, untuk menjawab soalan mengenai tindakannya semasa tempoh bendera merah pertama latihan kedua pada Jumaat lalu.

Juara dunia 2007, Raikkonen, 41, yang akan bersara daripada Formula Satu (F1) akhir musim ini, akan digantikan oleh pemandu simpanan Alfa Romeo Robert Kubica di Zandvoort.

“Kimi tidak menunjukkan sebarang gejala dan berada dalam keadaan yang baik. Dia kini diasingkan di bilik hotelnya. Pasukan mendoakan dia segera sembuh.

“Pasukan sudah memeriksa kontak rapat dan tidak menjangkakan sebarang impak kepada operasi kami sepanjang hujung minggu,” kata Alfa Romeo di Twitter.

Penganjur kejuaraan dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengatakan bahawa ujian positif Raikkonen ‘tidak akan memberi kesan besar kepada GP Belanda’.

Pemandu Poland, Kubica, 36, memenangi Grand Prix Kanada pada tahun 2008 tetapi kariernya terjejas berikutan kemalangan ketika Rally Andorra pada tahun 2011 yang menyebabkan tangan kanannya cedera.

Verstappen dipanggil oleh jawatankuasa perlumbaan sebelum sesi latihan terakhir selepas dia memintas pelumba Aston Martin Lance Stroll ketika bendera merah dikibarkan selepas jentera Mercedes dipandu Lewis Hamilton rosak di atas litar.

Pemandu Belanda itu, yang hanya tiga mata di belakang Hamilton dalam kejuaraan, berdepan penalti petak perlumbaan jika didapati melanggar peraturan. – AFP

Pemandu Alfa Romeo, Kimi Raikkonen dari Finland dijangkiti COVID-19 menjelang GP Belanda di litar lumba Zandvoort, Belanda. – AP