Raikkonen terkejut kegagalan tayar

SILVERSTONE, 17 Julai – Kimi Raikkonen berkata bahawa keretanya dalam keadaan normal dan dia tidak menerima sebarang amaran mengenai kegagalan tayar yang menjejaskan harapan Ferrari di beberapa pusingan terakhir di Grand Prix British.

Warga Finland itu berkata bahawa tayar depan sebelah kirinya berfungsi dengan baik, sebelum ia tiba-tiba mengalami masalah, menyebabkannya kehilangan tempat kedua dalam perlumbaan itu.

Rakan sepasukannya, Sebastian Vettel juga mengalami masalah kegagalan tayar kiri dan tercicir dari kedudukan keempat ke ketujuh, ketika Lewis Hamilton dari Mercedes bersama rakan sepasukannya, Valtteri Bottas memenangi satu-dua bagi mengikis pendahuluan kejuaraan bagi Jerman kepada satu mata.

“Semuanya seperti biasa,” kata juara dunia 2007, Raikkonen. “Jurang ketika itu baik bagi kami. Dua pusingan terakhir, saya tidak tahu apa terjadi, sebelum Turn Six di bawah terowong, tayar tidak meletup tetapi tiba-tiba getahnya tercabut.

“Saya tidak fikir saya melanggar sesuatu, sebelum itu semuanya normal, nasib baik saya dapat mengejar semula.

“Saya bergelut sedikit selepas itu kerana tayar mengalami masalah, tetapi kami berjaya meraih kedudukan baik.

“Saya tidak begitu bernasib baik, dan boleh juga dikatakan bernasib baik tetapi saya tidak mahu perkara ini terjadi kepada Seb dan kemudian satu pusingan kemudian..”

Vettel berada di kedudukan keempat di belakang Bottas apabila tayarnya mengalami kegagalan dan menyebabkannya ke tepi.

Seperti Raikkonen, dia terpaksa memandu ke lorong pit bagi mendapatkan tayar baru untuk melengkapkan perlumbaan.

“Saya tidak fikir ada orang yang tertentu perlu dipersalahkan,” katanya. – AFP