Raisha 2 kembali dengan musim baharu

SIRI drama Raisha lakonan Diana Danielle kembali dengan musim baharu di mana skripnya ditulis oleh Mufid Suhaimui dan diarahkan oleh Nizam Zakaria.

Drama terbitan OrangeTree Production Sdn Bhd ini turut menampilkan aksi lakonan Hafidz Roshdi, Fadlan Hazim, Hafreez Adam, Mawar Rashid, Azrel Ismail, Reen Rahim, Ridzuan Hashim, Tunku Hanis, Aisyah Atan, Fahrin Ahmad, Fara Mendoza, Sharifah Husna, Mahsuri Jesuli, Lina Ayu, Suzana, Aimi Said, Arwan Umar.

Pada dasarnya, siri drama ini mengisahkan mengenai Raisha seorang wanita yang begitu dahagakan populariti.

Beliau yang sebelum ini mempunyai seorang anak lelaki, Qayyum hasil dari perkahwinannya bersama Reymy kemudiannya berkahwin dengan Fuad, seorang usahawan muda yang juga sahabat karibnya semenjak bangku sekolah.

Setiap perniagaan pastinya melalui beribu cabaran dan Fuad tidak terkecuali. Apabila pendapatan perniagaan Fuad semakin merosot, Raisha merasakan dia perlu mengejar cita-citanya kembali untuk meningkatkan populariti.

Tempat Raisha bekerja dikunjungi oleh syarikat penerbitan dan dijadikan sebagai lokasi penggambaran.

Bagaikan tuah datang bergolek, kejelitaan Raisha berjaya menarik perhatian Rashdan dan ditawarkan watak utama di dalam sebuah filem.

Raisha telah merahsiakan statusnya malahan dia mendakwa Qayyum hanyalah anak saudaranya.

Fuad tidak senang hati dengan perubahan Raisha. Raisha sering mencari masa dan alasan untuk berjumpa dengan Rashdan.

Dia sudah melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu. Rashdan pula sudah jatuh cinta dengan Raisha.

Dia meyakinkan Raisha bahawa dia akan menjaga Raisha di Kuala Lumpur nanti. Lantas, Raisha berfikir bahawa penceraian bersama Fuad adalah jalan terbaik baginya.

Perasaan marah telah menguasai Fuad dan mereka berdua bergaduh besar. Fuad tidak akan bersetuju untuk menceraikan isterinya kerana masih menyayangi Raisha.

Bagaimanapun, Raisha sudah tidak tahan lagi dengan perangai Fuad yang sering memaksanya untuk berubah.

Raisha tetap inginkan penceraian dari Fuad dan nekad berhijrah ke Kuala Lumpur. Adakah Fuad akhirnya akan melafazkan cerai?

Bagi mengetahui kesudahan kisah yang menampilkan banyak konflik ini maka jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Raisha 2 yang ditayangkan pada setiap hari Rabu dan Khamis pada jam 9 malam di slot Lestary dalam saluran TV3.

Raisha kembali dengan musim baharu yang menampilkan konflik cerita yang lebih berat.