Raisi bakal Presiden Iran baharu

TEHRAN, 16 JUN – Tokoh konservatif, Ebrahim Raisi dijangka memenangi pemilihan Presiden Iran baharu, yang akan berlangsung Jumaat ini, bagi menggantikan Hassan Rouhani.

Pemilihan kali ini tidak menghadirkan tekanan yang besar malah pemerhati juga menganggap tiada kejutan besar akan berlaku malah menjangkakan jumlah perwakilan juga rendah di kalangan pengundi disebabkan krisis sosial dan ekonomi yang sedang berlaku.

Kekuasaan tertinggi di Iran sejak revolusi 1979 masih dipegang oleh Pemimpin Agung republik Islam itu, Ayatollah Ali Khamenei, namun jawatan Presiden tetap mempunyai pengaruh yang signifikan daripada isu perindustrian sehingga hal ehwal luar negara.

Pentadbiran Rouhani yang juga Presiden ketujuh Iran sudah memegang jawatan itu selama empat tahun atau dua penggal berturut-turut, had tempoh dibenarkan dan dikatakan mengikut telunjuk barat berkaitan perjanjian program nuklear untuk keluar daripada sekatan antarabangsa.

Namun, usaha itu terkubur selepas bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang melancarkan kempen ‘tekanan maksimum’ untuk mengasingkan negara secara diplomatik dan ekonomi terhadap Iran, tiga tahun lalu.

Raisi, 60 tahun, yang juga bekas ketua hakim negara pula tergolong dalam kumpulan konservatif yang tidak mempercayai Barat dan menggelar AS sebagai ‘Great Satan’ atau ‘Global Arrogance’. – AFP

Penyokong calon presiden Iran Ebrahim Raisi menghadiri kempen pilihan raya di ibu negara Tehran pada 14 Jun 2021. – AFP