Raja Abdullah II lawat Iraq

BAGHDAD, 14 Jan – Raja Jordan, Raja Abdullah II telah bertemu dengan Presiden Iraq, Barham Saleh di Baghdad hari ini, menurut televisyen negara, dalam lawatan pertama beliau ke Iraq lebih dari satu dekad.

Ia adalah lawatan terbaharu pada peringkat tertinggi di Iraq dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sejak Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melawat ke sana pada penghujung bulan Disember lalu.

Kali terakhir Raja Abdullah II mengadakan lawatan ke Iraq adalah pada tahun 2008, apabila beliau menjadi pemimpin Arab pertama untuk melawat Baghdad setelah pemimpin Saddam Hussein digulingkan oleh serangan yang dipimpin oleh AS pada tahun 2003.

Sebelum ini, Saleh telah mengadakan lawatan ke Jordan pada bulan November lalu.

Kedua-dua negara itu berkongsi sempadan sepanjang 179 kilometer, dan Jordan merupakan pengimport utama minyak mentah dari pengeluar Iraq.

Presiden Iraq, Barham Saleh (kanan) ketika bertemu dengan Raja Abdullah II di bandar Baghdad, kelmarin. – AFP

Pada tahun 2013, mereka bersetuju pembinaan saluran paip sepanjang 1,700 kilometer yang menghubungkan wilayah Basra, wilayah Iraq yang kaya dengan penghasilan minyak ke pelabuhan Aqaba di Jordan, tetapi kumpulan Islamic State menakluki hampir satu pertiga dari kawasan Iraq sekali gus menjejaskan rancangan itu.

Tahun lepas, Jordan telah meluluskan rangka kerja untuk memulihkan rancangan itu, tetapi tidak memberi tempoh masa untuk pembinaan projek tersebut.

Kedua-dua negara itu juga telah membincangkan rancangan untuk mengimport 300 megawatt tenaga elektrik dari Jordan ke Iraq untuk menangani kekurangan jana kuasa yang meluas di negara itu.

Pada masa ini, Baghdad banyak bergantung pada negara jiran Iran, mengimport sekitar 1,300 megawatt elektrik dan 28 juta meter padu gas asli untuk memberikan tenaga kepada loji kuasanya.

Washington, yang melihat Teheran sebagai musuh utama di rantau ini, berkeinginan memutuskan hubungan tersebut.

Ia mengenakan sekatan yang tegas terhadap Iran pada bulan November tetapi telah memberikan Iraq pengecualian sementara ke atas import tenaga, sambil mendesaknya untuk bekerjasama dengan firma-firma AS. – AFP