Raja Azura dan Alif Satar menang anugerah

Penghibur serba boleh Raja Azura dan Alif Satar diumumkan antara pemenang Anugerah Jenama yang Dipercayai anjuran majalah antarabangsa Reader’s Digest bagi tahun 2020 dalam kategori Personaliti.

Sekali lagi Raja Azura diundi oleh peminat di Malaysia sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai manakala Alif Satar pula menjuarai kategori Penyampai Televisyen untuk Berita dan Ehwal Semasa Paling Dipercayai, mengambil tempat Henry Golding yang memenangi kategori yang sama tahun lepas.

Bukan nama asing dalam industri hiburan tanah air, Raja Azura yang lebih mesra dengan jolokan Kak Engku berasa terkejut dan terharu atas sokongan yang diberikan oleh peminat walaupun telah meninggalkan bidang penyiaran radio sejak empat tahun yang lalu.

“Wah, saya tidak percaya yang saya masih memberi satu impak sebagai penyampai radio yang paling dipercayai setelah beberapa tahun. Saya berharap agar rakyat Malaysia akan sentiasa menyokong orang lama seperti kami agar dapat terus melahirkan karya dan hiburan yang berkualiti,” kata ibu kepada tiga orang anak remaja itu.

Mengakui amat merindui bidang penyiaran radio, Raja Azura berharap untuk terus bergiat aktif dalam semua aspek industri hiburan untuk memantapkan jenama tersendirinya sebagai personaliti serba boleh di Malaysia.

Raja Azura diundi oleh peminat di Malaysia sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai.
Alif Satar menjuarai kategori Penyampai Televisyen untuk Berita & Ehwal Semasa Paling Dipercayai. – Agensi

Gandingan hebatnya dengan rakan selebriti, Salih Yaacob dan Krill Rashid menerusi program ‘Sinar Pagi’ terbitan SinarFM diakui oleh peminat sebagai satu gabungan yang amat serasi dan menghiburkan dengan elemen informasi, hiburan serta lawak jenaka. Sebelum SinarFM, Kak Engku merupakan sebahagian daripada trio 3K di EraFM bersama Krill dan Kiran.

Raja Azura telah memulakan kerjaya pertamanya di dalam industri hiburan sebagai seorang pelakon pada awal tahun 1990an dan mula popular menerusi watak ‘Ratu Pendekar’ dalam drama bersiri Pendekar.

Kemudian, beliau menguji bakatnya dalam genre komedi termasuk menerusi cerekarama terbitan 1994 Pengantin Popular dan drama bersiri Mat Despatch, Raja Azura juga muncul dalam genre dramatik dan aksi termasuk Lurah Dendam dan Jimi Asmara.

Terbaharu Raja Azura mengacarakan program berjudul ‘Mingguan Wanita’, versi kandungan televisyen untuk majalah terlaris terbitan Karangkraf dengan judul yang sama.

Bagi Alif Satar pula, “Saya rasa sangat berbesar hati atas anugerah ini,dan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur dan juga para penyokong saya yang sememangnya sumber inspirasi saya, dalam apa jua bidang yang saya ceburi.

“Semoga atas penganugerahan ini, dapat menjadi satu contoh bagi sesiapa saja di Malaysia bahawa, tidak kira siapa, dan tanpa mengira latar belakang kita, jika kita mempunyai visi dan misi dalam diri, dengan usaha dan ketekunan, kita mampu untuk mencapai apa jua matlamat dalam hidup.”

Alif Satar juga berpegang pada mutiara kata yang pernah disuarakan oleh mendiang Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela yang berbunyi, “It always seems impossible, until it is done” – semuanya tampak mustahil sehinggalah kita melaksanakannya.

Nama penghibur ini mula meniti di bibir peminat seni tanah air menerusi penglibatannya dalam pertandingan nyanyian ‘One in A Million’ di rangkaian 8TV seterusnya memenangi tempat ketiga selepas diatasi oleh Suki Low dan Faizal Tahir. Malah, imej positif yang ditampilkan di layar perak dan media sosial terus mendapat pujian dan rasa hormat peminat.

Selain Raja Azura dan Alif Satar, personaliti tempatan, Adibah Noor turut memenangi kategori Penyampai Hiburan/Serba Boleh Paling Dipercayai manakala bekas pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terus kekal sebagai Personaliti Sukan Paling Dipercayai.

Anugerah Reader’s Digest Trusted Brands ke-22 menonjolkan jenama yang dipercayai berdasarkan undian oleh lebih daripada 8,000 individu yang telah dipilih merentasi lima pasaran utama di rantau ini: Malaysia, Singapura, Filipina, Hong Kong dan Taiwan.

Lebih daripada 40 jenama tempatan terpilih untuk memenangi lebih daripada 50 kategori termasuk Produk Isi Rumah, Perkakas Elektronik Pengguna, Institusi Pendidikan Swasta, Universiti Awam, Bank Yang Paling Dipercayai, Penyedia Perbankan Islam dan banyak lagi.