Raja Azura didik anak jaga maruah keluarga

Simpati dengan nasib menimpa penyanyi Nora Ariffin, pengacara dan pelakon, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 48, mengingatkan anak selebriti agar berhati-hati dalam setiap perlakuan mereka.

Ibu kepada tiga anak itu berpesan agar mereka mengingati Allah dan ibu bapa sebelum melakukan sesuatu perkara, lebih-lebih lagi perbuatan yang mungkin boleh mencalarkan nama baik orang tua.

“Bayangkan, ibu bapa bersusah payah menyanyi dan berlakon hingga ada yang ditipu sehingga langsung tidak dapat bayaran, semata-mata mahu membesarkan anak-anak.

“Jadi sebelum melakukan sesuatu, sentiasalah mengingati Allah dan ibu bapa kita,” pesannya ketika ditemui selepas majlis pelancaran program The Masked Singer Malaysia di ibu negara, Selasa lalu.

Pengacara program bual bicara, Mingguan Wanita siaran Astro Prima itu mengulas mengenai penyebaran video anak Nora mengikut pandangannya sebagai selebriti senior yang memiliki tiga anak remaja.

Raja Azura tidak mengizinkan anak-anak keluar sesuka hati tanpa pengawasannya. – Agensi

Akui Raja Azura, sebagai ibu, hatinya tersentuh sebaik mendapat tahu mengenai berita tular itu.

Perkara pertama yang terlintas dalam fikiran Raja Azura adalah bagaimana penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu berdepan dugaan hebat itu.

Malah, Raja Azura mengaku menangis dan tidak putus berdoa memohon agar Nora dikurniakan kekuatan dalam menempuh detik sukar, sekalipun mereka tidak berkawan rapat.

“Sebaik mendapat tahu berita yang tular itu, saya berdebar, berderau dan pelbagai perkara bermain dalam fikiran.

“Kebetulan ketika video itu tular, anak perempuan saya, Mia berada di asrama. Nasib baik asrama Mia tidak ada bekalan air, jadi, ibu bapa diminta membawa anak masing-masing pulang ke rumah.

“Selepas apa yang berlaku kepada anak Nora, saya jadi terlalu risau kerana ada anak perempuan. Kalau boleh, saya mahu mengambil Mia pada tengah malam itu juga.

“Tetapi disebabkan jam sudah menunjukkan 1 pagi, jadi saya batalkan hasrat dan menunggu sehingga keesokan hari,” katanya.

Raja Azura berkata, ketika menghubungi Mia dan memberitahu dia akan datang menjemputnya pulang, anak perempuannya itu meminta kebenaran untuk terus tinggal di asrama.

“Mia beritahu mahu duduk di asrama mengulang kaji pelajaran, tetapi saya tidak izinkan.

“Apabila tiba di rumah, saya panggil semua anak-anak. Saya ceritakan apa yang berlaku dan berpesan agar menjaga nama baik saya.

“Saya beritahu mereka, jika perkara seperti itu berlaku, mungkin saya boleh pengsan,” katanya.

Raja Azura berkata, apa yang berlaku kepada Nora ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Baru kehilangan suami dan anak, Nora diduga dengan ujian hebat. – Agensi