Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengalu-alukan keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa, Raja Bahrain, yang membuat Lawatan Negara selama dua hari ke Brunei.
Pesawat khas yang membawa Raja Hamad dan rombongan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada petang tadi.
Sebaik sahaja turun dari pesawat khas, Raja Hamad dialu-alukan oleh Baginda Sultan.
Berangkat sama di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengalu-alukan keberangkatan tiba Raja Hamad dan rombongan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, selaku Kerabat Pengiring Diraja.

Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku Menteri Pengiring; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim; Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar dan Pemangku Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Dato Paduka Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Raja Hamad kemudiannya berkenan melintasi Kawalan Statik terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Seterusnya Baginda Sultan dan Raja Hamad berangkat ke Istana Nurul Iman untuk majlis sambutan rasmi ketibaan dan Barisan Kawalan Kehormatan Diraja bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Hamad.