Thursday, February 13, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Raja Berjiwa Rakyat’, keperibadian pemimpin yang dikasihi rakyat

    Oleh Lenna N.B.

    Gambar oleh Muiz Matdani

    Pengorbanan Baginda tiada menagih ganjaran

    kecuali kasih abadi dan kesetiaan rakyat

    sebagai azimat dan semangat perjuangan

    justeru itu;

    bercemar duli bersama rakyat

    sebagai tempat mencurah kasih kerinduan

    kerana di sini kasih wangi semerbak

    mendampingi rakyat tanpa perbezaan

    semuanya sama berputik di hati

    menjana rindu berpanjangan

    merindu damai dan kemesraan.

    (Bait puisi dipetik daripada karya Haji Jawawi Haji Ahmad, ‘Pantaran Kasih’ dari buku Kumpulan Ragam Puisi)

    BEGITULAH bait puisi dipetik daripada seorang penyair tanah air kita, menggambarkan kasih seorang pemimpin yang berjuang demi rakyat dan cintanya seluruh rakyat kepada pemimpin Brunei Darussalam. Negara kita mungkin kecil di peta dunia, tetapi perjuangan Baginda Sultan demi negara dan rakyat menjadi ristaan sepanjang zaman. Hari ini, 15 Julai 2017, genaplah usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke 71 tahun.

    Garis-garis di wajah Baginda merakamkan setiap detik perjuangan yang tidak bernoktah. Walau dalam kegetiran dan cabaran demi masa ke masa, ternyata Baginda masih senyum demi rakyat tercinta yang berpusu-pusu ingin menghulurkan tangan bersalam bersama Baginda. Kasihnya rakyat setentunya menjadikan Baginda terus kental di persada Darussalam.

    Di bawah pimpinan Baginda, telah membawa kepada perjuangan agama, kemajuan ekonomi dan pendidikan, perkembangan pembangunan dan infrastruktur, membangun negara ke arah perhubungan antarabangsa dan banyak lagi, menjadikan taraf hidup rakyat sentiasa ke hadapan dan aman damai.

    Setiap titah Baginda mengandungi amanat untuk masa depan rakyat dalam mencapai cita-cita dan impian kemakmuran bersama. Oleh itu, Istilah ‘Raja Berjiwa Rakyat’ ternyata bukan sekadar istilah kosong atau ungkapan semata-mata, tetapi menggambarkan keperibadian Kebawah Duli Yang Maha Mulia, pemimpin kita yang dikasihi.

    Detik Bercemar Duli

    Detik Baginda Sultan bercemar duli adalah antara waktu yang dinanti-nantikan oleh sekalian rakyat kerana pada waktu itulah, sekalian rakyat bersua muka secara dekat dengan Baginda Sultan. Malah, ada yang mengambil peluang merakamkan foto bersama Baginda Sultan. Tanpa berbicara atau beralasan, Baginda Sultan hanya senyum dan melihat tepat pada kamera.

    ‘Raja Berjiwa Rakyat’, itulah pandangan rakyat kepada Baginda Sultan yang sentiasa prihatin terhadap rakyatnya.
    ‘Raja Berjiwa Rakyat’, itulah pandangan rakyat kepada Baginda Sultan yang sentiasa prihatin terhadap rakyatnya.
    Setiap detik, waktu pertemuan yang terindah diiringi doa, mengharapkan Baginda sentiasa dilanjutkan usia, sihat wa’alfiat dan kekal qarar memerintah Negara Brunei Darussalam.
    Setiap detik, waktu pertemuan yang terindah diiringi doa, mengharapkan Baginda sentiasa dilanjutkan usia, sihat wa’alfiat dan kekal qarar memerintah Negara Brunei Darussalam.
    Tidak kira sempena majlis tertentu atau perayaan besar tertentu, setiap detik Baginda Sultan bercemar duli adalah kenangan indah buat sekalian rakyat.
    Tidak kira sempena majlis tertentu atau perayaan besar tertentu, setiap detik Baginda Sultan bercemar duli adalah kenangan indah buat sekalian rakyat.
    Garis-garis di wajah Baginda merakamkan setiap detik perjuangan yang tidak bernoktah.
    Garis-garis di wajah Baginda merakamkan setiap detik perjuangan yang tidak bernoktah.
    Kasihnya rakyat setentunya menjadikan Baginda terus kental di persada Darussalam.
    Kasihnya rakyat setentunya menjadikan Baginda terus kental di persada Darussalam.

    Baginda tetap tersenyum demi rakyat tercinta yang berpusu-pusu ingin menghulurkan tangan bersalaman bersama Baginda.
    Baginda tetap tersenyum demi rakyat tercinta yang berpusu-pusu ingin menghulurkan tangan bersalaman bersama Baginda.

    Tidak kira sempena majlis tertentu atau perayaan besar tertentu, Setiap detik Baginda Sultan bercemar duli adalah kenangan indah buat sekalian rakyat. Ada kala, Baginda Sultan akan berbicara dan bergurau dengan mereka, menjalinkan silaturahim antara raja dan rakyat yang sungguh bererti.

    Seperti pada tahun-tahun sebelumnya, Baginda Sultan pada tahun ini akan bercemar duli ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama rakyat dan penduduk di empat-empat daerah. Ia merupakan tanda keakraban antara pemimpin dan rakyat serta penduduk bumi Brunei Darussalam. Cuaca yang sentiasa berubah, kadang-kala panas terik dan kadang-kala hujan, bukanlah penghalang kepada keakraban tersebut, justeru itu, ia menjadi rakaman peristiwa yang bersejarah pada ketika bersua muka, dan bersalaman dengan pemimpin yang disayangi.

    ‘Raja Berjiwa Rakyat’, itulah pandangan rakyat kepada Baginda Sultan yang sentiasa prihatin terhadap rakyatnya. Kemudahan Skim Perumahan Negara, kemajuan dari segi perubatan hospital tanah air, pendidikan serta biasiswa percuma untuk generasi-generasi kita, bantuan dan kurnia untuk mereka yang berkeperluan, subsidi pelbagai barangan harian, penghargaan-penghargaan istimewa buat kakitangan-kakitangan kerajaan, individu-individu yang berjasa serta barisan belia yang berbakti dan banyak lagi yang tidak terungkapkan adalah antara bukti keprihatinan Baginda yang tidak terbatas.

    Di sebalik kemudahan dan kebajikan itu, setentunya pemberian daripada Baginda Sultan yang sungguh bernilai buat sekalian rakyat. Oleh itulah, Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama rakyat menjadi detik waktu yang penting bagi kita, kerana ia merupakan peluang untuk menzahirkan penghargaan yang tidak mampu diucapkan selama ini.

    Walau dalam keadaan yang sesak, dan sempit, itulah peluang pertemuan yang istimewa. Begitu juga, Baginda Sultan dalam sedaya upaya tidak ingin menghampakan rakyat dan penduduk, menghulurkan tangan, menjalinkan kemesraan.

    Demi rakyat, sempena menyambut Aidilfitri, Baginda Sultan turut membuka Istana Nurul Iman setiap tahun, tiga hari turut-turut untuk kunjungan orang ramai, tanpa mengira bangsa dan agama. Seluruh rakyat dan penduduk serta pelancong berpusu-pusu mengunjungi Istana Nurul Iman, yang dialu-alukan kedatangan mereka dengan pelbagai hidangan juadah, masuk ke dewan berjunjung ziarah Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia, dan keluar Istana dengan membawa cenderamata daripada Baginda Sultan serta kad ucapan Hari Raya.

    Di Hari Kebangsaan, Baginda berjam-jam lamanya berdiri menerima perbarisan lalu daripada kakitangan-kakitangan kerajaan dan agensi swasta, sekolah-sekolah, persatuan-persatuan, dan sebagainya. Menyerahkan sijil ijazah universiti kepada graduan-graduan tanah air di majlis graduasi institusi-institusi pengajian tinggi Brunei Darussalam, bercemar duli mengunjungi pelbagai lokasi seluruh negara dan sebagainya, antara waktu-waktu yang lainnya merakamkan detik Baginda bersama rakyat.

    Setiap detik itulah, waktu pertemuan yang terindah diiringi doa, mengharapkan Baginda sentiasa dilanjutkan usia, sihat wa’alfiat, dan kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam di bawah perlindungan dan pertunjuk rahmat Allah Subhanahu Wata’ala jua. Begitulah indahnya detik bercemar duli yang tidak mampu kita ungkapkan keistimewaannya.

    Sentiasa Di Hati Rakyat

    Kepimpinan, pemedulian serta keprihatinan Baginda Sultan dalam tindakannya, melaksanakan keputusan dan bertitah, telah menjanakan kasih yang tidak terbatas daripada seluruh lapisan rakyat dan penduduk. Perjuangan Baginda dalam mempertahankan dan menegakkan pegangan Islam sebagai payung negara Brunei, walau pada ketika menerima kecaman dari luar tidak menggugat usaha Baginda dalam membawa kedamaian dan kemakmuran di negara ini. Begitulah besarnya wawasan Baginda dalam mempertahankan falsafah Melayu Islam Beraja, menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah Negara Zikir yang aman damai.

    Dalam usia Baginda ke-71 tahun ini, telah memperlihatkan keunggulan kepimpinan Baginda dalam menerajui negara, dan melindungi kemakmuran rakyat serta penduduk Brunei. Setiap titah menjadi kata indah. Setiap langkah Baginda, diiringi dengan doa rakyat, dan demi Baginda, rakyat dan penduduk mencapai cita-cita dan wawasan bersama. Begitulah, Baginda Sultan sentiasa di hati rakyat.

    Daulat

    daulat

    Daulat Kebawah Duli Tuan Patik

    Allah lanjut usia Baginda Sultan

    Raja dan kepala pemerintah

    Negara Brunei Darussalam

    Raja yang berjiwa Islam

    di sana sini bergemerlapan cahaya Islam

    suara takbir memuji kebesaran Allah.

    Di sini kami berdoa

    Allah selamatkan dan lanjutkan

    usia Raja kami

    Raja yang kami kasihi.

    Raja yang kami sayangi.

    Raja yang kami dukung.

    Dengan hati yang telus.

    Sebuah ikatan kasih

    rakyat dengan raja

    Ibarat ‘aur dengan tebing’

    Ibarat ‘isi dengan kuku’.

    (Bait puisi dipetik daripada karya Haji Sulaiman Haji Duraman, ‘Daulat Raja Kami’ dari buku Kumpulan Puisi Isteri Kekasihku)

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda