Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Raja berjiwa rakyat, pemimpin julangan kasih

    Oleh Nurdiyanah R.

    ‘Raja yang berjiwa rakyat’, ‘raja yang pemeduli’ dan ‘raja yang penyayang’, antara pemerian yang dilontarkan oleh orang awam berkaitan keperibadian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai seorang raja yang adil lagi bijaksana dalam pemerintahannya.

    Segala tindak-tanduk dan pengorbanan Baginda Sultan sukar dicari ganti, yang sentiasa berusaha membangun dan memajukan negara seiring dengan negara-negara yang lain di dunia sama ada dalam bidang agama, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan lain-lain lagi.

    Meskipun Negara Brunei Darussalam terlihat kecil di peta dunia, namun perjuangan Baginda demi negara dan rakyat akan menjadi ristaan sepanjang zaman.

    Setiap titah bersulam amanat
    Syukur dipanjatkan kepada yang Maha Esa, detik 15 Julai 2022 genaplah usia Baginda ke-76 tahun.

    Sebagai pemimpin, Baginda tegas melaksanakan amanah dan sentiasa ‘mengalinga’ terhadap apa-apa juga masalah dan kesukaran yang dialami oleh rakyat dan penduduk sejak menaiki takhta pada 11 Oktober 1967.

    Sikap kasih sayang Baginda terhadap rakyat dan penduduk tidak pernah luntur, malah sentiasa menekankan perjuangan agama, kemajuan ekonomi dan pendidikan, perkembangan pembangunan dan infrastruktur, membangun negara ke arah perhubungan antarabangsa dan banyak lagi.

    Baginda Sultan tersenyum melihat keletah pelajar cilik semasa menjunjung merakamkan gambar bersama Baginda. – Gambar fail Infofoto
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-75 tahun 2021. – Gambar fail
    Meskipun pandemik COVID, Baginda Sultan tetap berkenan merakamkan gambar bersama para graduan. – Gambar fail

    Begitulah antara sikap pemimpin negara yang tidak dapat disangkal lagi, bahkan setiap bait-bait titah Baginda sentiasa mengandungi amanat untuk masa depan rakyat dalam mencapai cita-cita dan impian kemakmuran bersama.

    Istilah ‘raja berjiwa rakyat’ ternyata bukan sekadar ungkapan semata-mata, namun menggambarkan keperibadian Baginda sebagai khalifah negara yang dikasihi. Raja yang adil memang menjadi akauntabiliti Baginda dalam mementingkan ketenteraman dan keamanan negara.

    Antara strategi Baginda yang jelas dalam menekankan kepentingan aspek-aspek ketenteraman, kesejahteraan dan keharmonian negara melalui setiap titah-titah Baginda yang merupakan sebagai satu pesanan yang penting Baginda untuk semua rakyat.

    Ibarat isi dengan kuku
    Setiap detik perjuangan dan kenangan Baginda bersama rakyat dan penduduk di negara ini bagaikan tiada noktah malah boleh dikatakan ibarat isi dengan kuku.

    Meski negara masih berdepan saat getir dan cabaran dilanda pandemik COVID, namun Baginda masih mampu mengukir senyuman dan tetap tenang malah gembira melihat rakyat dan penduduk tercinta yang berpusu-pusu dan berebut-rebut ingin menghulurkan tangan bersalam bersama Baginda Sultan.

    Keindahan detik-detik ini jelas terbukti semasa keberangkatan Baginda Sultan untuk meraikan hari-hari kebesaran Islam, membaca Yasin, sembahyang berjemaah serta menunaikan sembahyang Jumaat di masjid-masjid terpilih bersama rakyat jelata.

    Selain itu, Baginda merupakan raja yang peramah, sentiasa menjaga muamalah Baginda sesama masyarakat dan sentiasa menjalinkan hubungan yang baik dengan rakyat jelata.

    Reaksi kemesraan yang ditunjukkan Baginda sangat responsif dan penuh bermakna kepada seluruh rakyat jelata.

    Hal ini dapat disaksikan ketika Baginda Sultan dan kerabat diraja berkenan bercemar duli ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama rakyat dan penduduk di empat-empat daerah setiap tahun di mana sekalian rakyat bersua muka secara dekat dengan Baginda.

    Malah, ada yang mengambil peluang merakamkan foto bersama Baginda.

    Tanpa berbicara atau beralasan, Baginda Sultan dilihat hanya senyum dan melihat tepat pada kamera.

    Ada kalanya, Baginda Sultan akan berbicara dan bergurau dengan rakyat, tanda kemesraan yang dipamerkan pemimpin kepada rakyat.

    Begitulah kenangan indah yang sukar dilupakan sekali gus sebagai tanda keakraban antara pemimpin dan rakyat serta penduduk bumi Brunei Darussalam.

    Demi rakyat, sempena menyambut Aidilfitri, jika tiada aral melintang, Baginda Sultan dan kaum kerabat diraja turut membuka pintu Istana Nurul Iman setiap tahun selama tiga hari berturut-turut untuk kunjungan orang ramai, tanpa mengira bangsa dan agama.

    Seluruh rakyat dan penduduk serta pelancong berpusu-pusu mengunjungi Istana Nurul Iman, yang dialu-alukan kedatangan mereka dengan pelbagai hidangan juadah, berjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia, dan keluar Istana dengan membawa cenderamata daripada Baginda Sultan serta kad ucapan Hari Raya.

    Semasa Hari Kebangsaan, di sebalik ketegasan, Baginda tetap melakar senyuman meski pun berjam-jam lamanya berdiri menerima perbarisan lalu daripada kakitangan-kakitangan kerajaan dan agensi swasta, sekolah-sekolah, persatuan-persatuan, dan sebagainya.

    Bagi sama-sama meraikan kejayaan generasi penerus dari segi pendidikan, Baginda berkenan mengurniakan sijil ijazah universiti kepada graduan-graduan tanah air di majlis konvokesyen institusi-institusi pengajian tinggi negara, bercemar duli mengunjungi pelbagai lokasi seluruh negara dan sebagainya.

    Setiap pertemuan itu menjadi kenangan kepada rakyat, benar-benar mencerminkan pepatah raja dan rakyat berpisah tiada.

    Sentiasa dalam doa rakyat
    Kita sering ditanya oleh masyarakat luar, kenapa rakyat Brunei Darussalam terlalu menyayangi raja mereka, apa istimewanya Baginda di mata rakyat Brunei?

    Inilah limpah rahmat Ilahi yang perlu disyukuri oleh seluruh lapisan masyarakat di negara ini yang berpegang pada falsafah negara iaitu Melayu Islam Beraja (MIB).

    Sistem pemerintahan beraja tidak menghalang kepada kemajuan dan pembangunan negara, dan tidak pula mengenepikan hak-hak individu dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, melalui pemerintahan demokrasi kebruneian yang bertunjang kepada syura atau musyawarah.

    Kedudukan raja yang dinobatkan, dimuliakan dan didaulatkan membawa sandaran harapan rakyat jelata untuk mendapat naungan.

    Oleh itu, tidak hairanlah, jika kebanyakan pelancong yang datang ke negara ini dan menyaksikan sendiri keakraban Baginda bersama rakyat sentiasa mendapat pujian dan disanjung tinggi.

    Perjuangan Baginda menegakkan hukum dan aturan Islam sebagai payung negara, walau menerima kecaman dari luar, tidak menggugat usaha Baginda membawa kedamaian dan kemakmuran di negara ini.

    Begitulah besarnya wawasan Baginda mempertahankan MIB, menjadikan Brunei Darussalam sebuah Negara Zikir yang aman damai.

    Oleh yang demikian, berlalunya detik demi detik merentasi saban tahun telah memperlihatkan keunggulan kepimpinan Baginda dalam menerajui negara, dan melindungi kemakmuran rakyat serta penduduk Brunei.

    Setiap titah menjadi kata indah, setiap langkah Baginda diiringi dengan doa rakyat dan demi sama-sama menggapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

    Daulat Kebawah Duli Tuan Patik! Bersama-samalah kita bermunajat selaku rakyat dan penduduk di negara ini kepada Allah SWT semoga Baginda sentiasa dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan yang baik dan kekal karar memerintah singgahsana kerajaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...