‘Raja Bertakwa, Negara Sejahtera’

Oleh Sim Y. H. dan Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani dan Sim Y.H.

TEMBURONG, 22 JULAI – Setelah Daerah Belait mempersembahkan persembahan khas mereka, kini tiba masanya pula bagi Daerah Temburong untuk mengetengahkan persembahan khas yang membawa tema ‘Raja Bertakwa, Negara Sejahtera’, bersempena keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Bercemar Duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Temburong yang berlangsung di kawasan Padang Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, di sini, hari ini.

Tema persembahan menggambarkan sifat takwa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menerajui pentadbiran negara.

Baginda termasyhur sebagai seorang sultan dan raja yang memiliki kewibawaan, kebijaksanaan serta ketokohan Baginda di samping memiliki wawasan yang tinggi untuk kemakmuran negara.

Seluruh rakyat dan penduduk negara ini setentunya menzahirkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Baginda Sultan dan kerajaan dengan memberikan sokongan padu serta menjunjung kedaulatan raja yang dikasihi demi mencapai sebuah Negara Zikir yang sentiasa mendapat perlindungan Allah SWT.

Tema yang dipilih sebagai lambang kemakmuran dan kesejahteraan negara di bawah pemerintahan dan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah berjaya mencapai kegemilangannya.

Antara peserta koir yang menyertai persembahan padang bagi Daerah Temburong.

Sebagaimana yang dihasratkan oleh Baginda selaku payung negara yang dicintai dan disanjung tinggi oleh segenap lapisan rakyat dan penduduk di negara ini, Brunei Darussalam dapat mengekalkan kestabilan ekonomi, rakyat yang bersatu padu, hidup aman sentosa dan sejahtera dan tetap setia dengan kerajaan Baginda serta perkembangan dan kemajuan syiar Islam yang menjadi amalan hidup bernegara.

Konsep persembahan khas dibawakan oleh seramai 445 orang peserta terdiri daripada koir, peserta gerak laku, para pelajar sekolah rendah dan menengah, peserta laungan daulat dan hadrah selama 15 minit itu mengetengahkan ‘Payung Mahkota, Naungan Rakyat’ sebagai manifestasi usaha, perpaduan dan wawasan rakyat secara berterusan untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Persembahan mempunyai tiga segmen dan mengetengahkan lima aspek utama dalam pembangunan Daerah Temburong iaitu keagamaan, pendidikan, kesukanan, perekonomian serta keusahawanan dan kesenian serta kebudayaan.

Segmen pertama mengetengahkan simbolik benih padi yang ditanam dan dibaja supaya usaha melahirkan tunas rakyat yang berkualiti dapat membantu mencapai hasrat raja dan negara dengan diiringi lagu ‘Mukun Sanjungan Kasih’ selama lima minit, segmen kedua adalah simbolik padi yang tumbuh subur dan membuahkan hasil semaian yang dihasratkan.

Padi yang menjadi makanan asasi sebagai lambang rakyat yang bersatu padu dalam kemajuan dan pembangunan negara dengan diiringi lagu ‘Syahadah Laksamana’.

Segmen ketiga adalah simbolik padi yang dituai dapat dinikmati, begitu juga pencapaian wawasan rakyat secara berterusan akan terpelihara hingga ke generasi seterusnya dan selamanya dengan diiringi lagu ‘Brunei Gemilang’.