Oleh Syahmi Hassan
Kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menerajui negara telah berjaya menempatkan negara di mata dunia.
Kebijaksanaan Baginda Sultan dalam memimpin negara, pembangunan negara kian terserlah dengan kepelbagaian kemudahan yang kita rasai selaku rakyat dan penduduk di bumi bertuah ini.
Kemajuan dari segi teknologi
Sebagai langkah untuk merangsang aktiviti penyelidikan dan perkembangan dalam bidang Sains dan Teknologi di Negara Brunei Darussalam, Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Teknologi dan Sains telah diperkenankan penubuhannya oleh Baginda, semasa titah bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-75 Tahun.
Penubuhan Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Teknologi dan Sains di ba-wah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi adalah bagi menggantikan Majlis Penyelidikan Brunei dan Jawatankuasa Kerja Kebangsaan Sains dan Teknologi.
Pelbagai bentuk pembangunan dan kemajuan telah dinikmati oleh rakyat dan penduduk di bawah pemerintahan Baginda Sultan. Antaranya ialah dalam bidang pembangunan teknologi, infrastruktur, keagamaan, pendidikan, kebajikan, keselamatan, kesihatan dan ekonomi.
Penumpuan pembangunan dan kemajuan dalam bidang-bidang tersebut bukan hanya di kawasan bandar, tetapi juga di luar bandar dan kawasan pedalaman.
Antara pembangunan yang diperluaskan ialah projek rintis 5G yang telah dimulakan ke seluruh negara dengan majlis pelancaran pada bulan April 2021 yang bermatlamat untuk menyokong objektif-objektif strategik dan keutamaan di bawah Pelan Induk Ekonomi Digital 2025.
Projek rintis berkenaan merupakan kelangsungan siri aktiviti dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran teknologi 5G yang berpotensi untuk merangsang produktiviti, memperbaiki pengalaman maya dan membawa kita ke peringkat pendigitalan ke arah merealisasikan aspirasi Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara pintar.
Baginda juga mempertingkatkan dan memperkukuhkan hubungan dan kerjasama ekonomi bersama negara-negara ASEAN terutama dalam agenda yang memfokuskan pada bidang teknologi digital, inovasi, ekonomi dan kesihatan.
Tujuannya ialah bagi membantu membina kapasiti ASEAN dengan memanfaatkan penyelesaian digital ke arah pembangunan mampan serantau.Ia juga adalah sebagai usaha pemulihan ekonomi yang terkesan daripada wabak COVID.
Di samping itu, terdapat kepentingan untuk mempersiapkan generasi masa depan dengan kemahiran yang bersesuaian dan relevan terutama dalam Revolusi Perindustrian Keempat.
Kemajuan dalam pembangunan
Selaku seorang raja yang penuh dengan sikap pemedulian, pelbagai rancangan pembangunan dan infrastruktur yang diperkenankan oleh Baginda, yang telah dan sedang diadakan oleh kerajaan.
Salah satunya ialah pada 7 Julai lalu, Baginda Sultan telah berkenan berangkat mengurniakan Penggeranan Tanah-Tanah Lesen Tumpang Sementara di bawah Skim Penggeranan Tanah Lesen Tumpang Sementara (LTS) Bagi Daerah Tutong dan Daerah Belait serta anak-anak kunci rumah teres di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang bagi Daerah Tutong kepada 446 orang penerima.
Selain itu, Projek Perumahan Negara Kampung Lugu Fasa 2 yang bernilai lebih $108 juta juga sedang giat dilaksanakan sejak bulan April 2021 lagi. Projek perumahan negara di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-11 itu akan menyediakan 1,000 unit rumah jenis teres, di atas tapak seluas 165 hektar, berserta dengan prasarana asas seperti bekalan elektrik, bekalan air dan jalan raya.
Selain itu, bagi meningkatkan kualiti hidup dan sosioekonomi rakyat dan penduduk agar matlamat Wawasan Brunei 2035 boleh dicapai, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah membangunkan pelbagai infrastruktur, seperti pembinaan Jejambat Lugu, di kawasan Lugu yang mana ianya telah pun mula digunakan dan dinikmati oleh rakyat dan penduduk pada bulan Februari tahun ini.
Kemajuan dalam ekonomi dan perindustrian
Ekonomi juga turut giat dimajukan di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui kerajaan Baginda. Antara lain yang difokuskan ialah sektor pelancongan yang merupakan salah satu bidang penting yang berupaya meningkatkan sumber ekonomi negara bagi mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035. Sektor pelancongan mendapat perhatian kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan memperkenalkan Taman Negara Ulu Temburong, Daerah Temburong atau dikenali sebagai ‘Permata Hijau Brunei’ sebagai produk pelancongan baharu, walaupun negara sedang beradaptasi dengan pandemik COVID.
Ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035 kerajaan Baginda telah berusaha mempelbagaikan ekonomi melalui projek-projek pelaburan langsung asing (FDI).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga mengambil langkah dinamik dengan memajukan sektor-sektor pertanian dan perindustrian.
Dalam sektor pertanian, Baginda memperkenankan usaha penanaman padi berskala besar bagi menampung keperluan negara, manakala dalam sektor perindustrian, kerajaan Baginda julung kalinya mengeksport baja keluar negara.
Selain itu, negara juga telah membuat pengeksportan kali pertama produk beku udang putih, pada September 2021, iaitu udang laut spesis Litopenaeus vannamei dari ternakan kolam mula dieksport ke Republik Rakyat China pada 13 September lalu.
Pengeksportan tersebut juga hasil daripada penandatanganan protokol yang digelar Protokol Antara Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) Negara Brunei Darussalam dan Protokol Pentadbiran Umum Kastam Republik Rakyat China mengenai Keperluan Pemeriksaan, Kebersihan dan Penjagaan Haiwan untuk Produk Akuatik Ternakan yang Diimport dari Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China.