Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Raja buah ‘pukau’ penggemar tegar

    Oleh Nurdiyanah R.

    Setiap kali tibanya musim buah, pasti raja buah atau durian menjadi trending daripada buah-buah lain, tidak cukup jadi bualan ia juga membanjiri laman-laman media sosial sehingga tempahan dibuat dalam Group WhatsApp.

    Bagi para pencinta ‘raja buah’ pastinya ia sesuatu peluang yang tidak akan dilepaskan begitu sahaja demi memenuhi ‘liur’ setiap kali tiba musim durian ini.

    Suasana kemeriahan timbunan durian mahu pun yang dijual secara bertimbang atau ikat dapat dilihat di sana sini daripada kalangan pemilik kebun mahupun peniaga di pondok tepi jalan di kampung-kampung hinggalah ke pasar raya.

    Di Negara Brunei Darussalam, kepelbagaian jenis raja buah ini mencetuskan rasa berbeza-beza iaitu ada yang memiliki isi manis berlemak, sedikit pahit dan juga gabungan kedua-duanya.

    Pastinya kelunakan isi durian jugalah yang menjadi pujaan para penggemarnya.

    Musim buah durian kini kembali.
    Raja buah begitu enak dinikmati namun pengambilannya perlu berpada-pada demi menjaga kesihatan.

    Seketika penulis pernah terbaca secara amnya, durian adalah sejenis buah tropika yang bermusim, yang begitu popular di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina termasuklah negara kita.

    Di negara kita, terdapat tujuh jenis durian yang boleh dimakan iaitu durian kuning (Durio graveolens), durian putih (Durio zibethinus Murr), durian pulu (Durio kutejensis), durian kura-kura (Durio testudinarum Becc), durian suluk (Durio spp), durian sukang (Durio oxleyanus Griff) dan durian maragang (Durio dulcis Becc).

    Khasiat raja buah

    Raja buah mengandungi 65 peratus air, 27 peratus karbohidrat termasuk 4 peratus serat, 5 peratus lemak dan satu peratus protein.

    Dengan kata lain, dalam anggaran satu cawan 250 gram isi durian bersamaan dengan dua atau tiga ulas durian mempunyai 360 kilokalori (kCal) yang kebanyakannya daripada lemak dan karbohidrat.

    Aroma, warna, bau dan kegebuan durian mempunyai pelbagai nutrisi padanya iaitu mengandungi vitamin B6 seperti thiamine (B1), riboflavin (B2), niacin (B3), asid pantotenik (B5), vitamin B6 dan folat (B9), vitamin C dan mineral manganese dan potasium.

    Seperti yang kita ketahui, semua vitamin ini amat diperlukan dalam tubuh kita, misalnya vitamin B sebagai sumber utama dalam pembentukan sel darah merah dan memastikan sistem saraf berfungsi dengan baik.

    Begitu juga bagi mineral manganese berperanan bagi membantu fungsi saraf, pembentukan tisu penghubung dan tulang, metabolisme lemak dan karbohidrat manakala potasium untuk mengawal tekanan darah, kesihatan jantung, otot dan tulang.

    Menariknya, durian juga mengandungi asid amino, triptofan yang menjadi sumber utama pembentukan hormon serotonin dan melatonin yang membantu individu berasa tenang dan mudah untuk tidur.

    Sungguh enak tetapi beringat-ingat

    Keenakan durian mampu memukau para pencintanya untuk menikmatinya sepuas hati namun hakikatnya mencegah itu lebih baik dari mengubati, apa kata orang Brunei kita ‘jangan luan berabis makan atu karang ada kan dirasai’.

    Saling mengingati buat diri kita dan insan-insan di sekeliling khususnya bagi pesakit diabetes mereka tidak digalakkan mengambil durian dalam jumlah yang banyak.

    Hal ini kerana durian mengandungi karbohidrat iaitu gula dalam bentuk glukosa dan fruktosa yang tinggi.

    Ia memberikan tenaga yang agak banyak dan menyebabkan tahap gula dalam darah meningkat sekali gus memberi kesan buruk kepada organ tubuh.

    Manakala bagi pesakit ginjal dan jantung pula, pengambilan durian secara berlebihan menyebabkan tahap potasium menjadi tinggi dan mengganggu fungsi ginjal.

    Oleh yang demikian, beberapa panduan terbaik apabila kita menikmati raja buah ini perlu diambil perhatian untuk semua lapisan masyarakat antaranya ialah elakkan mengambil isi durian bersama makanan tinggi karbohidrat terutama karbohidrat ringkas seperti kek manis atau minuman bergas.

    Perkara ini begitu penting dijauhi kerana ia boleh menyebabkan peningkatan gula dengan cepat.

    Selain itu, kita juga perlu mengelakkan diri daripada pengambilan isi durian bersama makanan atau minuman berkafein seperti kopi dan teh kerana ia mungkin menyebabkan rangsangan jantung.

    Kandungan potasium apabila bergabung dengan kafein menyebabkan kemudaratan pada jantung.

    Apabila terlalu banyak memakannya, kita mestilah banyak meminum air kosong agar dapat menggelakkan dehidrasi kerana tahap gula yang tinggi pada isi durian yang dikonsumsi secara berlebihan itu boleh menyebabkan keadaan dehidrasi pada tubuh kita.

    Meski pun raja buah ini kini seakan-akan memanggil kita untuk menikmatinya lebih-lebih lagi apabila berada di depan mata namun berpada-padalah dalam memakannya, jangan sampai tubuh merana.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Iran rasmi projek hidrokuasa dan pengairan Sri Lanka

    COLOMBO, 24 APRIL — Presiden Iran, Ebrahim Raisi tiba di Sri Lanka hari ini untuk merasmikan projek hidrokuasa dan pengairan yang telah lama tertangguh...