‘Raja’ dadah dan keluarga dipenjara

MADRID, 29 Jan – Mahkamah Sepanyol semalam menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas seorang ‘raja’ dadah yang terkenal dan beberapa anggota keluarganya serta menutup ejen estet yang digunakan untuk pengubahan wang haram.

Sebuah mahkamah di Pontevedra, barat laut wilayah Galicia dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun ke atas Sito Minanco dan denda sebanyak 6 juta euro kerana pengubahan wang haram.

Empat lagi defendan iaitu bekas isterinya, anak perempuan sulung, bekas kakak ipar dan rakan perniagaan turut dikenakan hukuman yang sama.

Mahkamah juga memerintahkan semua aset dan pemilikan mereka dirampas termasuk menutup ejen hartanah yang dijalankan oleh mereka.

Perniagaan tersebut semuanya ‘berkisar tentang jenayah pengubahan wang yang dilakukan kesemua tertuduh’, kata penghakiman.

Minanco atau nama sebenarnya Jose Ramon Prado Bugallo adalah antara penyeludup dadah paling dikenali di Sepanyol dan pernah disabitkan dengan jenayah berkenaan sebanyak dua kali serta menghabiskan masa selama 17 tahun di dalam penjara.

Kisahnya diketahui ramai selepas dipopularkan oleh siri televisyen, ‘Farina’ yang diadaptasi dari buku dengan tajuk sama.

Sejak tahun 1980an, Minanco yang kini berusia 63 tahun, membina empayarnya di Galicia dan perbicaraannya dijalankan membabitkan semua pertuduhan sejak dari tahun 1988. – AFP