RIYADH, 15 Jan – Raja Sepanyol Felipe VI akan bertemu dengan Raja Saudi Salman hari ini, kata media tempatan, ketika satu lawatan rasmi yang diadakan serentak dengan rundingan untuk menjual kapal perang Sepanyol.
Felipe tiba lewat semalam di Riyadh untuk lawatan tiga hari. Kementerian luar Sepanyol berkata menterinya Alfonso Dastis, dan Menteri Kerja Awam Inigo de la Serna, akan mengiringi Felipe ketika lawatan itu.
Media Sepanyol telah mengaitkan lawatan dengan perjanjian yang lama dijangkakan untuk menjual corvette Avante 2200 dengan harga dua bilion euro.
“Kami hanya boleh mengesahkan perbincangan sudah berada dalam fasa lanjut untuk membina kapal perang yang akan dijual kepada tentera laut Saudi,” beritahu jurucakap untuk pembina kapal Sepanyol milik kerajaan Navantia kepada AFP. Sepanyol adalah pengeksport senjata ketujuh terbesar di dunia, dan Arab Saudi ialah salah satu pembeli terbesar peralatan tentera.
Satu gabungan pimpinan Saudi memulakan serangan udara di Yaman hampir dua tahun lalu selepas pemberontak Huthi dan sekutu mereka, tentera yang setia dengan bekas presiden Ali Abdullah Saleh, menakluki sebahagian besar kawasan Yaman.
Riyadh bimbang Huthi akan mengambil alih kesemua Yaman dan memindahkannya ke dalam lingkungan Syiah Iran, pesaing serantau di Arab Saudi. Namun kempen udara tersebut telah menerima kritikan daripada kumpulan hak asasi mengenai orang awam yang terbunuh.
Belanjawan Saudi pada tahun ini memperuntuk 191 bilion riyal untuk perbelanjaan tentera termasuk peralatan dan senjata, merosot daripada 205 bilion riyal yang dibelanjakan pada 2016. – AFP
































