Oleh Salawati Haji Yahya
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah seorang pemimpin dan raja yang berjiwa rakyat, berwibawa, disanjungi oleh semua rakyat dan penduduk di negara ini serta pemimpin dunia yang lain.
Berkat dengan kepimpinan bijaksana Baginda, seluruh rakyat dan penduduk di negara ini dapat menikmati keamanan, kemakmuran dan keharmonian hidup.
Dalam usaha Baginda bagi memastikan keharmonian dan kehidupan rakyat terjamin dan berkembang maju, Baginda tidak pernah leka dan tidak kendur-kendurnya sentiasa mengambil peduli berkenaan hal ehwal kemajuan negara dan kesejahteraan penduduk di negara ini.
Sikap Pemedulian Baginda terhadap rakyat amat terserlah dengan beberapa siri lawatan Baginda ke beberapa buah mukim dan kampung, institusi pendidikan, jabatan kerajaan bagi melihat sendiri kemajuan dan perkembangan yang telah dicapai khususnya dari segi perkembangan dan pendidikan.
Perubahan dan kemajuan semakin terserlah setelah bermula detik bersejarah pada 5 Oktober 1967 di mana Baginda ditabalkan menjadi Sultan Brunei ke-29 dengan penuh adat istiadat.


Kemajuan negara jelas ketara dengan adanya usaha giat Baginda Sultan untuk meningkatkan kemajuan yang dirintis oleh Paduka Ayahanda Baginda Sultan dalam segala bidang termasuklah keamanan, ketenteraman, kesejahteraan, kedaulatan dan kemakmuran seluruh rakyat dan penduduk di negara ini.
Antara projek dan rancangan kemajuan yang diusahakan ialah jalan raya yang begitu pesat membangun dan pembinaan bangunan kerajaan yang begitu indah dan strategik.
Di samping itu, bekalan air dan elektrik turut dibekalkan kepada pengguna di seluruh negara terutama kampung pedalaman yang dulunya gelap gelita dengan hanya menggunakan generator di mana sekarang semua itu bertukar corak dengan keadaannya yang terang benderang.
Selain kebijaksanaan dan kewibawaan pimpinan Baginda, rahsia sebalik kejayaan Baginda Sultan adalah juga dengan adanya sokongan serta kerjasama padu daripada segenap lapisan rakyat kepada kerajaan.
Dalam pendidikan pula, Baginda begitu menitik beratkan kesejahteraan dan keperluan rakyat serta penduduknya dengan memberi biasiswa kerajaan untuk melanjutkan pelajaran di dalam mahupun di luar negara.
Ini bukan saja tertumpu pada institusi pengajian tinggi di negara ini malah kerajaan juga melaratkan ke seluruh sekolah dan maktab dengan memberi pendidikan secara percuma.
Kepekaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam hal ehwal agama Islam di negara ini terserlah dengan Pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 yang dirasmikan pada April 2014 di mana ia merupakan suatu perkara yang sangat membanggakan dan juga lembaran sejarah baru bagi negara ini.
Walaupun banyak kritikan daripada pihak antarabangsa yang mengatakan bahawa tindakan itu merupakan satu langkah ke belakang tapi sokongan padu daripada semua lapisan masyarakat telah berjaya bersatu mempertahankan pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 itu.
Ini merupakan azam Baginda dan juga rakyat serta penduduk yang beragama Islam di negara ini yang menghasratkan agama Islam yang sempurna menjadi realiti, sekali gus menyempurnakan sebagai sebuah Negara Zikir dan juga ‘Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Gahaffur’.
Bukan setakat itu, penyediaan kemudahan bagi orang ramai terutama kemudahan asas seperti perumahan telah diberikan keutamaan paling utama dalam langkah kerajaan untuk meningkatkan lagi pembangunan negara. “Langkah supaya setiap rakyat mempunyai tempat atau rumah kediamannya sendiri adalah prioriti pembangunan negara yang berterusan”.
Perkara ini pernah dititahkan oleh Baginda pada Majlis Penyampaian Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-59 tahun di Istana Nurul Iman.
Antara isi kandungan titah Baginda berbunyi, “Sesungguhnya terdapat pelbagai cabaran bagi mencapai matlamat ini, Beta yakin kadar pembinaan rumah di bawah skim-skim perumahan yang ada boleh dipertingkatkan lagi untuk memenuhi permintaan dan keperluan rakyat yang semakin ramai. Penyediaan kemudahan asas lain sama ada di kawasan pendalaman mahupun di bandar juga tidak diabaikan”.
Dalam usaha memantapkan kemajuan negara, warga emas di negara ini juga tidak ketinggalan menerima Pencen Umur Tua yang diberikan setiap bulan bagi menjaga kesejahteraan mereka.
Melihat kepada kepimpinan Baginda yang kasih akan rakyat dan penduduknya, ianya semakin terserlah apabila adanya Majlis Istana Terbuka untuk orang ramai yang diadakan pada setiap Hari Raya Aidilfitri di mana ini memberi peluang bukan saja kepada rakyat dan penduduk di negara ini malah pelancong luar negara juga tidak melepaskan peluang menyembahkan ucapan Selamat Hari Raya kepada Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja yang lain.
Bukan setakat itu, dengan adanya Majlis Bercemar Duli yang diadakan di setiap daerah sempena Hari Keputeraan Baginda, rakyat dan penduduk di negara ini tidak melepaskan peluang untuk berjunjung ziarah Kehadapan Majlis Baginda Sultan.
Walaupun dalam keadaan yang panas dan bersesak-sesak, Baginda masih mampu mengukirkan senyuman untuk tidak menghampakan rakyat dan penduduk yang dikasihinya.
Baginda yang berjiwa rakyat, juga turut bercemar duli ke kawasan pedalaman untuk melihat lebih dekat lagi bagaimana rakyat Baginda menjalani kehidupan dan lebih-lebih lagi jika berlaku bencana alam seperti banjir yang sering melanda di kawasan pedalaman.
Baginda akan turun padang dan merentas air lumpur bersama rakyat dan penduduk yang lain untuk beramah mesra sekali gus melihat keadaan mereka.
Dari segi sukan pula, Baginda Sultan gemar menyertai dalam sukan Regata dan tarik kalat di mana Baginda pernah menyertai dalam kedua-dua sukan tersebut yang merupakan sukan tradisional yang sememangnya digemari oleh rakyat dan penduduk di negara ini.
Penglibatan Baginda jelas memperlihatkan Baginda bukan saja seorang pemimpin yang berjiwa rakyat tapi Baginda juga seorang peneraju yang menyatukan rakyat dan penduduk di negara ini dengan suasana kehidupan yang harmoni, aman dan makmur.
Kemesraan Baginda dengan rakyat dan penduduknya amat disenangi oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini malah negara luar turut memuji kepimpinan dan keperibadian Baginda.
Keprihatinan dan kepimpinan Baginda dalam menerajui negara ini dalam segenap aspek turut mendapat pujian dunia luar dengan mengagumi kepimpinan Baginda.
Bukan setakat itu, Baginda Sultan yang terkenal dengan sikap peramah dan murah hati turut disenangi oleh semua masyarakat tidak kira warga tempatan atau pun warga asing.
Sejarah ringkas Baginda Sultan
Tanggal 15 Julai merupakan tarikh yang cukup istimewa bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam kerana menjelang tarikh ini, suasana gilang-gemilang dan penuh adat istiadat akan dapat dinikmati dan disaksikan oleh setiap rakyat dan penduduk di seluruh negara.
Tarikh istimewa itu ialah Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Baginda adalah putera sulung Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit yang diputerakan pada hari Isnin, 15 Julai 1946 di Istana Darussalam di Bandar Brunei.
Baginda Sultan mendapat pendidikan awal secara private tuition di Surau Istana Darul Hana dan pada tahun 1955, Baginda Sultan menuntut di Sekolah Melayu Sultan Jamalul Alam, Bandar Brunei.
Pada 14 Ogos 1961, satu lagi detik bersejarah bagi negara Brunei di mana Baginda Sultan dimasyhurkan menjadi Duli Pengiran Muda Mahkota pada hari Isnin ketika Baginda berusia 15 tahun.
Walaupun ketika itu Baginda masih muda tetapi Baginda Sultan sudah menunjukkan kecenderungan terhadap kemajuan dan pembangunan negara dalam bidang agama, ekonomi, pendidikan, sosial, kebudayaan, keamanan dan keselamatan.
Pada tahun yang sama juga Baginda Sultan berangkat ke Kuala Lumpur untuk melanjutkan pelajaran ke Victoria Institution selama dua tahun hingga lulus peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran.
Ketika berada di sana, Baginda begitu aktif mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan sekolah termasuk olahraga dan bidang sukan lainnya. Baginda juga pernah mewakili sekolah itu dalam permainan ragbi dan bola sepak.
Pada penghujung tahun 1963, Baginda berangkat balik ke tanah air dan meneruskan pelajaran di Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien pada tahun berikutnya.
Dalam bulan Januari 1966, Baginda berangkat ke United Kingdom bagi menjalani latihan ketenteraan sebagai Pegawai Kadet di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, England hingga 1967.
Pada 5 Oktober 1967 Baginda ditabalkan menjadi Sultan Brunei ke-29 dengan diadakan istiadat perpuspaan yang penuh gilang-gemilang dan beristiadat di Lapau setelah Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dengan kemahuan Al-Marhum sendiri turun takhta pada 5 Oktober 1967.