Raja pengasih menyinari Syiar Islam

Oleh Salawati Haji Yahya

Berkat kepimpinan raja yang bijaksana memimpin negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berjaya membawa nama negara ke mata dunia setanding dengan negara lain.

Kepimpinan Baginda Sultan sebagai ketua agama berjaya membentuk masyarakat yang berpegang teguh dengan ajaran Islam dan menjadikan negara sebagai Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur.

Dalam pemerintahan Baginda, Baginda bukan saja memberi penekanan terhadap kemajuan dan pembangunan negara saja, malah Baginda tidak ragu dalam memberi penekanan dan melaksanakan Undang-Undang Syariah untuk menjadi pegangan negara supaya terus kekal aman dan damai.

Walaupun terus mendapat kritikan dan dipersoalkan tapi Baginda tetap melaksanakan undang-undang Allah bagi tujuan tertentu seperti dalam titah Baginda sempena menyambut Bulan Ramadan bagi Tahun 1440 Hijrah/2019 Masihi dari Istana Nurul Iman yang lalu.

“Undang-undang berkenaan adalah semata-mata bertujuan memelihara Maqasid Syariah yang meliputi agama, nyawa, keturunan dan akal. Beta menyedari terdapat bermacam-macam persoalan dan salah tanggapan berikutan perlaksanaan undang-undang berkenaan. Untuk itu, kita telah memberikan penjelasan mengenainya. Kita juga menyedari, salah tanggapan memang boleh sahaja menimbulkan pelbagai kegusaran, namun kita juga yakin apabila salah tanggapan itu bertukar jadi kefahaman yang betul, maka apa yang mulanya dianggap buruk, baru akan nampak pula kebaikannya,” tekan Baginda.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat menyertai perarakan sempena Sambutan Maulud Nabi bersama rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengutamakan perihal agama Islam dengan membangun masjid baharu, Masjid Hassanal Bolkiah untuk kemudahan rakyat Negara Brunei Darussalam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan penduduk Negara Brunei Darussalam bersama-sama mendirikan solat berjemaah yang menunjukkan nilai-nilai keharmonian Islam di negara ini.
Keperihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam pendidikan Islam khususnya pelajar-pelajar sekolah agama untuk mencapai pembelajaran yang sempurna.

Baginda seterusnya bertitah, “sesiapapun tidak perlu risau terhadap Undang-Undang Jenayah Syariah kerana ia adalah undang-undang yang penuh rahmat, yang datang daripada Pemilik dan Pengurnia Rahmat. Adalah mustahil bagi Pemilik dan Pengurnia Rahmat (Allah) menyuruh kita untuk memakai undang-undang bagi menzalimi manusia, sedangkan undang-undang yang disuruh itu adalah undang-undangNya sendiri.”

Baginda turut menekankan, dalam menegakkan komitmen dan tanggungjawab antarabangsa terhadap hak asasi manusia, negara akan mengesahkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Tentang Penyiksaan (UNCAT).

“Kedua-dua undang-undang iaitu common law dan syariah, adalah bertujuan untuk memastikan keamanan dan keharmonian negara dan moral serta kesopanan orang ramai akan selamanya terpelihara di samping menghormati privasi setiap individu,” tegas Baginda lagi.

Kegemilangan Islam negara

Pelaksanaan perundangan syariah dalam era Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah menjadi mercu tanda kegemilangan Islam kontemporari dalam ketamadunan Islam.

Dengan melaksanakan seluruh sistem Islam dalam kehidupan, kepimpinan Baginda juga telah membuat ramai orang bukan Islam tertarik kepada Islam bukan sahaja kerana mengkaji hasil tulisan berkaitan Islam tetapi melalui penghayatan akhlak dan seluruh ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian oleh umat Islam.

Pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah

Dalam melaksanakan sepenuhnya Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 pada 3 April 2019, kedua-dua sistem akan terus berjalan seiring bagi mengekalkan keamanan dan ketenteraman serta memelihara agama, kehidupan, keluarga dan individu tidak mengira jantina, warga, bangsa dan kepercayaan.

Tujuan undang-undang Syariah adalah untuk mendidik, menghormati dan melindungi hak yang sah pada semua individu, masyarakat atau warganegara di sisi undang-undang, tidak mengira agama atau bangsa.

Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 bermula 22 Oktober 2013 dan ini adalah sangat bersejarah untuk mengukuhkan lagi kedudukan serta kewibawaan agama Islam di negara ini.

Undang-undang Islam adalah lengkap dan menyeluruh dalam semua aspek kehidupan di mana undang-undang Islam mengatur seluruh kehidupan manusia baik secara individu, berkeluarga, bermasyarakat, bernegara serta mengatur hubungan sesama manusia, hubungan dengan Allah, hubungannya dengan alam dan makhluk yang lain.

Undang-undang ini tidak terbatas dengan kaum, tempat, keadaan dan zaman.

Adalah menjadi tugas dan kewajipan kita semua untuk melaksanakan undang-undang Islam dan tidak wajar bagi kita menerima sebahagian daripada undang-undang Islam dan menolak atau mengabaikan sebahagian yang lain.