SACRAMENTO, 12 Mei – James Sissom dan Ashley Schmieder adalah pasangan pertama melangsungkan perkahwinan pada ketinggian 5,364 meter di Gunung Everest pada 16 Mac lalu, lapor akhbar tempatan, The Sacramento Bee.
Jurugambar, Charleton Churchill yang merakamkan detik indah itu berkata, pasangan itu juga adalah yang pertama berkahwin di situ dengan hanya memakai gaun dan tuksedo dalam cuaca sejuk.
Schmieder menghubungi Churchill tahun lalu menerusi Instagram, meminta satu majlis perkahwinan tanpa memberitahu lokasi pilihan mereka.
Menurut Churchil, pada mulanya Sissom dan Schmieder menimbang untuk memilih lokasi tropika, manakala dia pula meninjau Everest. Jurugambar itu pernahmencuba untuk merakamkan perkahwinan di Gunung Everest pada 2015, namun terpaksa membatalkan seminggu sebelum memulakan perjalanan apabila Nepal dilanda gempa bumi dengan kekuatan 7.8 magnitud yang menyebabkan 9,000 maut. – AP