Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – Buat kali kedua tahun ini, RS Event Management akan mengadakan Raja Sehari Wedding Event 2018 iaitu pameran perkahwinan dan fesyen Muslimah bertaraf antarabangsa pada 23 Februari ini.
Pameran tersebut akan diadakan di Gadong selama tiga hari untuk mengetengahkan para pengusaha yang berkecimpung dalam bidang kelengkapan perkahwinan dan fesyen Muslimah yang akan disertai oleh lebih 20 buah syarikat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, RS Event Management bersedia untuk memberikan usahawan-usahawan berkenaan alat-alat dan kepakaran bagi menjayakan acara tersebut serta membantu mengukuhkan lagi jenama mereka serta menyuntik semangat pengusaha untuk terus berkembang maju dalam bidang yang diceburi masing-masing.
Raja Sehari Wedding Event 2018 akan membawa pereka fesyen, jurugambar perkahwinan, penggubah kek, perancang perkahwinan yang ternama seperti Cakes by Faridah, Shukz Zas Photography, Maszalina Weddings, Mahligai Seri Pengantin, Haz Bridal, Ya Nur dan tidak lupa juga pengusaha-pengusaha kecil yang baru berkecimpung dalam bidang ini.
Orang ramai adalah dialu-alukan datang dan memberi sokongan untuk menjayakan pameran berkenaan.