Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raja Zarith Sofiah berkenan lawat Kolej Matrikulasi Labuan

    LABUAN, 5 NOV – Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan mengunjungi Kolej Matrikulasi Labuan (KML) hari ini, bersempena dengan lawatan sulung selama dua hari ke pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa negara itu.

    Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut oleh 960 pelajar yang mengibarkan Jalur Gemilang dan ada yang berpakaian tradisional melambangkan etnik Sabah dan Labuan.

    Raja Zarith Sofiah kemudian melawat reruai pameran dan berinteraksi dengan pelajar dari kolej berkenaan serta murid dari Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan, Sekolah Menengah Sains Labuan dan Kolej Vokasional Labuan.

    Kunjungan Seri Paduka Baginda memberi peluang kepada pelajar berkongsi pengalaman dan projek akademik yang menonjolkan dedikasi dan bakat mereka, dengan Raja Permaisuri Agong.

    Raja Zarith Sofiah turut berkenan meneroka MAKERSPACE@KML, ruang kerjasama yang direka untuk memupuk inovasi dan kerja berpasukan.

    Kemudahan berkenaan menyediakan perkongsian sumber, pengetahuan dan kepakaran, menggalakkan pelajar dan pereka bekerjasama dalam projek kreatif yang mengintegrasikan teknologi, reka bentuk dan kejuruteraan.

    Seri Paduka Baginda kemudian mengurniakan lapan komputer riba sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) kepada pelajar kolej berkenaan.

    Kunjungan Raja Zarith Sofiah ke KML mencerminkan komitmen Seri Paduka Baginda untuk memberi inspirasi kepada belia dan menyokong inisiatif pendidikan di seluruh Malaysia. – Bernama

    Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah (dua, kanan) berkenan melawat pameran kraf tangan di Dewan Komuniti Kampung Sungai Lada, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda