Rajapaksa angkat sumpah Presiden baharu Sri Lanka

COLOMBO, 18 NOV – Gotabaya Rajapaksa yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden baharu Sri Lanka, berikrar kerajaan pimpinannya akan kekal berkecuali dan tidak mencetuskan konflik dengan mana-mana negara kuasa besar, lapor agensi berita Anadolu.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sulungnya sejurus selepas mengangkat sumpah jawatan pada Isnin.

“Kami berharap dapat bekerja dengan semua negara secara harmoni dan kami akan berusaha untuk tidak berpihak dengan mana-mana pihak dalam hubungan luar negara dan mengelak sebarang konflik,” katanya.

Kenyataan itu susulan kebimbangan apabila kembalinya pemerintahan Rajapaksa dasar pro-China akan diamalkan semula, yang diterima pakai oleh abangnya presiden Mahinda Rajapaksa, ketika menjadi presiden sehingga tahun 2015.

Istiadat angkat sumpah diadakan di kuil Buddha, Ruwanwelisaya di Anuradhapura, kira-kira 200 kilometer dari ibu kota Colombo. Rajapaksa yang melakar kemenangan pada pilihan raya pada Sabtu berkata, keutamaannya ialah untuk mengukuhkan keselamatan negara.

“Saya akan meletakkan semua mekanisme diperlukan untuk memastikan negara kita terjamin dan terhindar daripada keganasan, gerakan bawah tanah, ancaman dadah, pemerasan, kebimbangan serta negara yang selamat untuk wanita dan kanak-kanak.

“Saya telah membuat permintaan khas kepada masyarakat Tamil dan Islam di negara ini untuk menjadi sebahagian daripada kemenangan ini tetapi sambutan yang saya terima tidak seperti yang saya harapkan,” katanya. – Bernama

Presiden baharu Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa menyampaikan ucapan negara selepas mengangkat sumpah di Kuil Buddha Seya Rumanweli di Anuradhapura, Sir Lanka. – AP