COLOMBO, 12 JULAI – Presiden Sri Lanka hari ini mempertimbangkan untuk menggunakan kapal peronda tentera laut bagi melarikan diri keluar dari negara itu selepas pegawai imigresen enggan mengecap pasportnya di lapangan terbang, menurut sumber rasmi.
Gotabaya Rajapaksa berjanji untuk meletak jawatan esok dan memberi laluan untuk ‘membolehkan peralihan kuasa secara aman’ berikutan bantahan yang berleluasa terhadapnya dalam krisis ekonomi terburuk negara itu.
Pemimpin yang berusia 73 tahun ini melarikan diri dari kediaman rasmi di Colombo sebelum puluhan ribu pembantah menyerbunya pada Sabtu lalu. Dia kemudian ingin membuat perjalanan ke Dubai, menurut kenyataan daripada pegawai.
Sebagai presiden, Rajapaksa mempunyai imuniti daripada ditangkap, dan dia dipercayai ingin melarikan diri ke luar negara sebelum meletak jawatan bagi mengelak kemungkinan ditahan.
Namun pegawai imigresen enggan pergi ke bilik VIP untuk mengecap pasportnya, dengan Rajapaksa enggan melalui kemudahan awam kerana bimbang dengan tindakan balas dendam daripada pengguna lapangan terbang yang lain.
Presiden dan isteri bermalam di pangkalan tentera bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranike selepas terlepas empat penerbangan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE). Adik kepada Rajapaksa, Basil, yang meletak jawatan pada April sebagai menteri kewangan, terlepas penerbangan ke Dubai awal kelmarin selepas kejadian serupa yang berlaku dengan kakitangan lapangan terbang.
Basil – yang juga memegang kerakyatan Amerika Syarikat (AS) selain daripada kewarganegaraan Sri Lanka – cuba menggunakan perkhidmatan bantuan berbayar, namun kakitangan imigresen berkata bekas menteri kewangan itu dikeluarkan daripada perkhidmatan itu dengan serta-merta.
“Terdapat beberapa orang penumpang yang membantah kerana Basil menaiki penerbangan itu,” kata seorang pegawai lapangan terbang kepada AFP. “Keadaan yang sangat tegang, jadi dia terpaksa meninggalkan lapangan terbang.”– AFP