Rajapaksa dipilih sebagai presiden

COLOMBO, 17 NOV – Bekas setiausaha pertahanan Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa dipilih sebagai presiden dalam pertarungan sengit pilihan raya, tujuh bulan selepas serangan militan Daesh yang meragut 269 nyawa.

Pesara tentera berpangkat Leftenan Kolonel dan berusia 70 tahun itu meraih 48.2 peratus daripada hampir tiga juta undi yang dikira, namun keputusan dari kubu kuat Rajapaksa dijangka menambah peratusan berkenaan melebihi 50 peratus.

“Kami memperoleh antara 53 hingga 54 peratus. Ia adalah satu kemenangan nyata. Kami amat gembira kerana Gota akan menjadi presiden. Beliau akan mengangkat sumpah hari ini atau esok,” kata jurucakap, Keheliya Rambukwella.

Saingan Rajapaksa, Sajith Premadasa, 52 yang juga Menteri Perumahan mengekor rapat dengan jumlah 45.3 peratus.

Beliau menerima sokongan padu minoriti dari kawasan miskin dan minoriti Tamil serta gagal menyerlah di kawasan dikuasai masyarakat Sinhalese.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Mahinda Deshapriya berkata, sekurang-kurangnya 80 peratus daripada 15.99 juta penduduk layak mengundi memilih calon kegemaran masing-masing semalam, dan ia turut dicemari beberapa keganasan yang menyebabkan beberapa orang cedera.

Rajapaksa menggerakkan kempen dengan janji untuk memperkasakan aspek keselamatan dan berikrar menghapuskan sentimen ekstrem keagamaan di negara majoriti Buddha itu, khususnya selepas serangan pengebom nekad pada 21 April lalu.

Masing-masing tiga hotel mewah dan gereja menjadi sasaran serangan.

Daesh mengaku bertanggungjawab dalam serangan berkenaan yang meragut nyawa 45 pelancong asing. – AFP

Gotabaya Rajapaksa (kanan) melambai ke arah penyokong ketika beliau meninggalkan pejabat suruhanjaya pilihan raya di Colombo pada 17 November. – AFP