Rak beroda kemaskan ruang

Oleh Amri HTZ

Ruangan kerja yang teratur setentunya akan memberikan akses yang lebih baik ketika mendapatkan sesuatu yang berkaitan dengan pekerjaan.

Perkara ini sangat penting terutama bagi seorang mekanik atau peminat DIY memandangkan barangan membaiki atau peralatan kereta biasanya berukuran besar dan memakan ruangan.

Barangan yang pada kebiasaannya dimiliki sebagai simpanan seperti rim boleh disusun dengan lebih teratur dengan menempatkannya pada rak beroda ringkas mudah untuk direka sendiri.

Dalam projek kali ini, untuk mereka rak beroda khusus rim memerlukan sebatang besi hollow berukuran 3” x 5” x 72”, sebatang besi hollow berukuran 3” x 3” x 50”, dua batang besi hollow berukuran 3” x 3” x 23”, sekeping plat berukuran 3” x 5”, empat keping plat berukuran 3” x 3”, mesin kimpal, sarung tangan kalis api, kasut keselamatan, helmet khusus mengimpal, mesin pemotong besi, empat biji roda berdiameter 4”, empat keping plat 5 ½” x 4” (mengikut ukuran kaki roda yang digunakan), berus dawai, tukul, cat besi, empat nat berukuran 6” bersaiz 14mm berserta bolt, dan flap disc berukuran 120 grit.

Potong dan cantum

Melalui langkah pertama pembuatan, empat keping plat berukuran 3” x 3” yang telah disediakan akan dikimpal pada bahagian hujung dua batang besi berukuran 3” x 3” x 23”. Jika panjang besi belum menepati ukuran yang diperlukan, potong menggunakan mata pemotong besi yang bersesuaian dan gunakan kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang bersesuaian.

Tujuan utama plat digunakan untuk menutupi bahagian ini adalah bagi memastikan air atau kelembapan tidak masuk ke dalam rangka utama rak yang akan mengakibatkan berkarat.
Barangan yang diperlukan untuk mereka rak beroda khusus rim.
Bahagian rangka bawah rak di mana pada bahagian tengahnya dikimpalkan dengan besi hollow berukuran 3” x 3” x 50”.
Tujuan plat untuk roda digunakan adalah bagi memastikan awda mudah untuk menukarkannya ketika rosak memandangkan ia terpasang menggunakan nat dan bolt.
Besi hollow berukuran 3” x 5” x 72”, yang telah disediakan akan dipaterikan dalam keadaan berdiri pada bahagian tengah besi hollow berukuran 3” x 3” x 50”.

Serpihan besi hasil daripada pemotongan boleh memudaratkan mata dan di sini, penggunaan pelindung muka amat ditekankan.

Tujuan utama plat digunakan untuk menutupi bahagian ini adalah bagi memastikan air atau kelembapan tidak masuk ke dalam rangka utama rak yang akan mengakibatkan berkarat sekali gus menjadikan rekaan tidak mampu bertahan lama.

Selain itu, bahagian hujung besi yang terbuka juga boleh mengundang bahaya ketika mengendalikannya dan mungkin secara tidak sengaja tersandungnya yang boleh mengakibatkan luka.

Setelah memotong besi dengan ukuran yang diperlukan, bersihkan permukaan yang akan dikimpal menggunakan flap disc. Permukaan yang berkarat atau mempunyai lapisan cat boleh menggagalkan bahagian yang kimpal. Tetapkan kabel ground pada permukaan besi dan tack weld bahagian yang akan dicantumkan.

Kelebihan tack weld

Teknik tack weld akan digunakan dalam kesemua langkah mencantumkan sementara rangka rak rim tersebut. Ini bertujuan bagi memastikan awda tidak perlu melakukan langkah yang sama untuk dua kali disebabkan kesilapan menetapkan kedudukan.

Pada proses tack weld, setiap satu sudut yang dikimpal sementara, masih membolehkan awda untuk menyelaraskannya jika berlaku sesuatu kesilapan dengan cara mengetuknya menggunakan tukul atau memotongnya semula (bahagian dikimpal) menggunakan mesin memotong besi. Selain itu, penggunaan teknik tack weld juga memerlukan awda mengimpal keempat-empat sudut pertemuan.

Kedua-dua bahagian hujung besi yang telah ditutup akan membolehkan awda meneruskan langkah mencan-tumkan bahagian rangka bawah rak di mana pada bahagian tengahnya akan dikimpalkan dengan besi hollow berukuran 3” x 3” x 50”. Seperti langkah sebelumnya, bahagian yang akan dikimpal akan dibersihkan permukaannya menggunakan flap disc.

Kesemua bahagian percantuman untuk rangka bawah yang telah dicantumkan dengan cara tack weld, jika dirasakan kesemuanya dalam kedudukan yang tepat, kini awda boleh meneruskan langkah mengimpal keseluruhan permukaan cantuman.

Sebelum itu, bahagian permukaan tack weld perlu dibersihkan permukaannya menggunakan berus dawai atau tukul agar bebas daripada flux droplet. Jika masih terdapatnya flux droplet tersebut, proses mengimpal bahagian tersebut dengan sempurna akan terganggu memandangkan permukaan yang masih mempunyai flux tidak akan bercantum di antara satu dengan yang lain.

Setelah rangka bahagian bawah dicantumkan, pada bahagian hujung bawah setiap sudut, kimpalkan empat keping plat 5 ½” x 4” untuk menempatkan roda rak. Untuk bahagian ini, awda mempunyai pilihan sama ada untuk menggunakan plat bagi roda atau hanya mengimpal terus plat yang terdapat pada roda tersebut.

Tujuan plat untuk roda digunakan adalah bagi memastikan awda mudah untuk menukarkannya ketika rosak memandangkan ia terpasang menggunakan nat dan bolt.

Manakala besi hollow berukuran 3” x 5” x 72”, yang telah disediakan akan dipaterikan dalam keadaan berdiri pada bahagian tengah besi hollow berukuran 3” x 3” x 50”. Ini diikuti dengan mengimpal nat panjang 6” pada kedudukan 15” dan 53” dari bahagian hujung atas (depan dan belakang) besi hollow berukuran 3” x 5” x 72” yang akan dijadikan tempat untuk menggantungkan rim.

Bagi melindungi permukaan besi daripada karat, sapukan keseluruhan permukaan menggunakan cat khusus besi sekurang-kurangnya dua lapisan dan memberikan masa bagi setiap lapisan untuk mengering terlebih dahulu sebelum memberikan lapisan seterusnya. Bagi menghasilkan permukaan bercat yang terbaik, penggunaan cat sembur atau spray gun adalah disarankan dalam langkah ini.

Langkah terakhir adalah memasangkan roda rak pada bahagian bawah menggunakan nat dan bolt bersesuaian. Pastikan roda yang mempunyai brek ditempatkan pada sudut hujung yang sama dan dua lagi (kedudukan tetap atau tidak berputar 360 darjah) pada bahagian hujung satu lagi.

Menempatkan rim simpanan pada rak tersebut, setentunya memberikan ruangan yang lebih teratur pada ruangan kerja awda!