Rak diamond khusus koleksi dimiliki

Oleh Amri HTZ

Minat menyimpan sesuatu barangan sebagai koleksi sama ada berbentuk mainan, setem, syiling, patung dan sebagainya memerlukan tempat khusus untuk meletakkan dan mempamerkannya.

Pada kebiasaannya, tempat meletakkan koleksi akan disejajarkan dengan barangan berkenaan bagi menyesuaikannya sekali gus menjadikannya tumpuan. Menggunakan peralatan tertentu, mereka rak khusus untuk koleksi tersebut bukanlah suatu yang mustahil untuk dilakukan.

Sesuaikan koleksi dengan rekaan rak
Bagi menyesuaikan tempat meletakkan koleksi batu yang dimiliki, projek kali ini akan mereka rak berbentuk diamond untuk menempatkannya. Untuk itu terlebih dahulu sediakan kepingan papan berukuran 3” x 15” x 1”, mesin ketam kayu, dowel atau skru, pensel penanda, mesin pemotong kayu meja, gam kayu, stapler atau paku kecil, pita pengukur dan tukul.

Langkah penting dalam pembuatan
Sebelum memulakan proses pemotongan kayu yang telah disediakan dengan ukuran diperlukan, terlebih dulu ratakan permukaan kayu tersebut menggunakan mesin ketam kayu. terdapat pelbagai jenis mesin yang boleh digunakan sama ada mesin pegang (handheld), tetap seperti tickness planer atau secara manual (alat ketam konvensional). Menggunakan mesin pegang memerlukan kemahiran untuk meratakan kayu mengikut lebar bilah mesin di mana jika tidak keseluruhan permukaan diliputi (bilah mesin lebih kecil daripada permukaan papan), ia lebih cenderung menjadi bertingkat.

Sementara menggunakan alat ketam secara manual juga memerlukan awda memeriksa ketajaman bilah. Jika ia tumpul, walaupun memiliki kemahiran dalam penggunaannya juga akan menyebabkan penggunaan tenaga yang banyak selain sasaran permukaan kayu yang rata juga sukar untuk dicapai. Oleh itu pastikan peralatan diperiksa terlebih dahulu sebelum penggunaannya.

Papan-papan yang telah dicantumkan menjadi satu membentuk bingkai empat segi.
Dalam memastikan potongan kayu yang hendak dicantumkan di dalam rak mempunyai ukuran tepat, menyukat dan menandakan terus dari kawasan tersebut membolehkan awda mendapatkannya.
Dowel yang dimasukkan ke dalam lubang skru perlu dipotongkan dan digosok dengan kertas pasir bagi menyembunyikannya.
Rak berbentuk diamond yang telah direka akan dicantumkan bahagian dalamannya dengan kepingan kayu untuk menempatkan koleksi batu.

Langkah meratakan kayu paling mudah dan cepat ialah menggunakan mesin thickness planer di mana awda hanya perlu menetapkan ketebalan yang ingin dicapai. Dengan hanya menyorongkan kayu pada ruangan khusus, permukaan kayu kasar atau tidak rata akan terbuang. Namun langkah penggunaan mesin sedemikian akan memerlukan awda menetapkan kedalaman (permukaan yang hendak dibuang) secara perlahan-lahan sama ada 1mm hingga 2mm bagi mengelakkan mesin terlebih bebanan atau terjadinya lekukan pada permukaan hujung kayu (planer snipe).

Setelah meratakan keseluruhan permukaan (atas dan bawah) kayu, langkah seterusnya ialah memotong kayu-kayu tersebut dengan ukuran diperlukan iaitu 4” x 15” x 1” untuk mempat batang. Potongan-potongan tersebut kemudiannya akan dicantumkan menjadi satu membentuk bingkai empat segi.

Mencantumkan keseluruhan kayu menjadi satu memerlukan awda untuk menyapukan gam pada sudut percantuman dan mengekalkannya sama ada menggunakan dowel atau skru. Bagi me-reka yang tidak kisah dengan keadaan skru yang terlalu menonjol, menggunakannya merupakan salah satu cara yang baik untuk mengekalkan cantuman.

Sementara bagi mereka yang menekankan kesempurnaan rekaan, penggunaan dowel untuk menyembunyikan teknik cantuman adalah penting. Selain itu menggunakan skru ditutupi dengan dowel juga mampu melakukan hasil yang sama di mana skru akan dimasukkan melebihi permukaan kayu kemudian ditutupkan dengan dowel (dimasukkan di atas kepala skru dan lebihannya akan dipotong). Biarkan gam mengering untuk beberapa jam sebelum meneruskan langkah seterusnya.

Gam pada cantuman yang telah mengering akan membolehkan awda untuk memotongkan sebahagian bingkai tersebut seperti yang boleh dilihat pada gambar. Langkah ini dilakukan bagi memastikan awda boleh mendapatkan bentuk diamond dengan mudah dan tepat. Tandakan kedudukan 4” dari bahagian tengah (bingkai hendaklah dalam kedudukan seperti diamond) kedua-dua sisi dan potongkan dengan sudut 45 darjah.

Bahagian yang telah dipotong akan digantikan dengan sebatang kayu mempunyai lebar dan tebal yang sama dengan panjang lebih kurang 16”. Selain tu sudut potongan kedua-dua bahagian hujung juga perlu dalam keadaan 45 darjah.

Bagi memastikan panjang kayu yang diperlukan bertepatan dengan bahagian yang telah dipotong, awda hanya perlu meletakkan kayu tersebut pada bahagian atas permukaan kayu dan menandakannya menggunakan pensel.

Langkah seterusnya ialah mereka bahagian tengah bingkai dengan kayu-kayu yang membolehkan awda menempatkan barangan di atasnya. Lebar dan tebal kayu yang digunakan di sini lebih kecil dan nipis jika dibandingkan dengan rangka utamanya. Ini bagi memastikan rekaan utama iaitu bingkai berbentuk diamond tidak dibayangi keseluruhan struktur yang mempunyai kayu berketebalan sama.

Langkah menambah bahagian tengah rak menggunakan kayu-kayu tersebut memerlukan awda memotongkannya dengan tepat agar tidak terdapat ruangan kosong yang boleh menggagalkan cantuman. Sama seperti langkah sebelumnya, bagi mendapatkan ukuran yang betul-betul tepat, letakkan kepingan kayu di mana ia hendak ditempatkan dan tandakan menggunakan pensel. Bagi sudut potongan pula, ia tertakluk pada kawasan di mana ia ditempatkan.

Dalam memastikan kayu-kayu bahagian dalaman rak dicantumkan dengan kukuh, gunakan gam kayu pada permukaan cantuman selain menyokongnya menggunakan stapler atau paku kecil dari bahagian luar. Selain mengukuhkannya, penggunaan stapler atau paku juga bagi mengekalkan kayu di tempatnya sementara menunggu gam mengering.

Setelah keseluruhan bahagian dicantumkan dan gam mengering, awda boleh meneruskan langkah melindungi atau mewarnai permukaan kayu menggunakan sama ada wood finish atau cat pilihan. Dalam projek ini, bagi menyesuaikan tema hiasan sesebuah ruangan, warna biru akan dipilih untuk melindungi permukaannya.

Setiap kali menyapukan atau menyemburkan wood finish pilihan pada permukaan kayu, berikannya masa untuk menyerap dan mengering sebelum memberikan lapisan yang seterusnya (flash-off). Ini memastikan tidak terjadi osmotic blistering disebabkan terdapat kelembapan tersekat dalam lapisan yang belum mengering dan tertutup oleh lapisan cat baharu. Ini akan menjadikan permukaan yang telah dicat menggelembung sekali gus mampu mencacatkan rekaan.

Langkah terakhir ialah menempatkan penggantung pada bahagian belakang rak di bahagian atas kedua-dua belah. Meletakkan satu penggantung pada bahagian tengah kurang disarankan kerana ditakuti bebanan atau berat yang tidak sama setiap barangan yang diletakkan boleh menyebabkan rak digantung tidak stabil. Menetapkannya menggunakan skru, kini rak yang direka sudah boleh digantungkan dan menempatkan barangan yang ingin dipamerkan.