Rak dinding minimalis seri ruangan

Oleh Amri HTZ

Pada kebiasaannya ruangan dinding rumah akan dihiasi dengan bingkai gambar, jam, lampu dan sebagainya bagi mengisikan ruangan tersebut.

Bagi memberikan kelainan selain mempunyai kegunaan, ia turut boleh ditempatkan rak bergantung minimalis yang cukup mudah untuk direka sendiri. Rak dinding bergantung ini juga mempunyai kelebihan tersendiri di mana ia tidak memiliki kaki di bahagian bawahnya yang mampu dimanfaatkan dengan menempatkan perabot lain di bawahnya.

Sedia sebelum mula

Sebelum memulakan projek pembuatan rak ini, beberapa barangan perlu disediakan terlebih dahulu seperti pita pengukur, mesin gergaji rantai, kertas pasir, mesin ketam kayu, wood oil, kayu 2″ x 2″, mesin router, pahat kayu, vise, mata gerudi 30mm (k, batang penyapu, mesin gerudi, pensel penanda, gam kayu dan skru.

Rancang langkah pembuatan

Bagi langkah pertama pembuatan, dapatkan potongan batang pokok dengan kepanjangan lebih kurang 3 kaki dan lebar 12 inci. Batang tersebut kemudiannya akan dipotong dengan bentuk papan menggunakan gergaji rantai. Permukaan kasar yang terhasil daripada proses pemotongan menggunakan mesin gergaji rantai ini kemudiannya akan diratakan menggunakan ketam kayu.

Ketebalan papan atau slab dengan salah satu permukaannya akan kekalkan dalam bentuk asal adalah lebih kurang 3 inci. Perlu dipastikan permukaan potongan atas dan bawah (lebar 12 inci), bahagian sisi kiri dan kanan serta belakang diratakan menggunakan mesin ketam kayu manakala pada bahagian permukaan asal iaitu bahagian luaran batang pokok akan dikekalkan bagi memperlihatkan keindahan permukaan kayu yang asli.

Kekalkan kedudukan dowel pada pendakap rak menggunakan gam kayu yang berkualiti untuk memastikan ia tercantum kukuh.
Tebuk menggunakan mata gerudi yang kecil sedikit (-1mm) daripada ukuran dowel yang digunakan bagi memastikan ia benar-benar ketat.
Langkah melorek ruangan untuk pendakap rak pada bahagian belakang papan menggunakan mesin router.
Lindungi permukaan kayu menggunakan wood oil.
Proses memotong papan dengan ukuran yang diperlukan perlu ditandakan terlebih dahulu menggunakan pensel.

Setelah meratakan permukaan papan, gosok keseluruhan permukaan menggunakan kertas pasir berukuran 600 grit dan diakhiri dengan 1,500 grit. Permukaan yang telah dihalusi menggunakan kertas pasir ini akan memberikan hasil akhir yang lebih baik selain mampu menimbulkan lagi ira-ira kayu yang tersembunyi setelah ia disapukan wood oil.

Bagi awda yang ingin mengekalkan kulit kayu pada permukaan berombak (permukaan asal luaran), pastikan kayu yang digunakan merupakan jenis yang tahan lasak dan tidak mudah terkopek bahagian kulitnya. Ini bagi memastikan rekaan mampu bertahan lama ketika dalam penggunaan.

Langkah seterusnya ialah memotongkan kayu bahagian pendakap belakang. Potong kayu 2″ x 2″ yang disediakan dengan ukuran yang mempunyai ketebalan 1 inci, panjang 34 inci dan lebar 2 inci. Kayu yang telah dipotongkan ini juga akan digunakan sebagai templat untuk melorek bahagian belakang papan menggunakan mesin router.

Dengan menetapkan papan pada vise, tiru bahagian luaran kayu pendakap menggunakan pensel. Setelah mendapatkan ukuran sebenar pendakap, lorek bahagian tersebut dengan kedalaman 1 inci. Lorekan bahagian belakang papan ini direka adalah bagi menyembunyikan pendakap yang digunakan sekali gus menjadikan rak seolah-olah tergantung tanpa sebarang pendakap.

Apabila berjaya mereka ruangan untuk pendakap tersebut, kini anda boleh memotongkan batang penyapu yang disediakan menjadi dowel menggunakan mesin pemotong kayu. Panjang dowel yang diperlukan lebih kurang 4 inci untuk 9 batang. Gunakan mata gerudi yang sama ukurannya dengan dowel yang digunakan. Langkah ini memerlukan awda menebuk lubang untuk dowel dengan kedalaman 3 inci pada bahagian belakang papan (bahagian yang dilorek) dan kayu pendakap.

Bagi memastikan lubang yang ditebuk pada kayu pendakap dan papan selaras, masukkan kayu pendakap pada bahagian yang telah dilorek dan tebuk bahagian yang telah ditandakan (kayu pendakap) pada kedudukan 1″,5″, 9″, 13″, 17″, 21″,25″, 29″ dan 33″ (jarak 4 inci setiap satu). Setelah menebuknya, dowel yang telah tersedia kini boleh dicantumkan secara kekal pada bahagian kayu pendakap menggunakan gam kayu.

Dowel yang telah dicantumkan pada bahagian pendakap akan dibiarkan mengering lebih kurang 24 jam bagi memastikan ia cukup kukuh sebelum digunakan. Setelah ia mengering, pendakap tersebut bolehlah digantungkan di bahagian ruangan yang telah dipilih menggunakan skru pada dinding.

Sementara untuk permukaan papan, sapukan keseluruhan permukaannya menggunakan wood oil dengan memberikan sekurang-kurangnya tiga lapisan. Setiap lapisan yang disapukan perlu diberikan masa untuknya menyerap sebelum memberikan lapisan kedua. Setelah menyapukan lapisan ketiga, lebihan wood oil pada permukaan papan yang tidak mampu diserap lagi oleh permukaan kayu perlu dibersihkan menggunakan kertas tisu atau kain.

Meletakkan lebih daripada satu rak pada ruang dinding akan menjadikan ia lebih seimbang apabila digantungkan dalam sesebuah ruangan. Namun jika ruangan yang ingin diisikan bersaiz kecil, mereka satu rak sudah cukup mampu menyerikan ruangan tersebut dan mempunyai pelbagai kegunaan selain sebagai penghias. Walaupun cukup ringkas, hasil rekaan daripada titik peluh sendiri ini akan lebih bermakna dimiliki dibandingkan dengan yang dibeli.