Oleh Amri HTZ
Kepentingan menjaga kebersihan semakin ditekankan ketika dunia berdepan dengan ancaman COVID-19.
Cecair atau gel pensanitasi tangan dipandang sebagai satu kewajipan yang perlu dimiliki sebagai salah satu langkah untuk membasmi kuman. Selain itu, penggunaan kertas tisu juga disarankan sebagai amalan kebersihan terutama selepas menggunakan tandas. Kertas tisu rol sering kali menjadi pilihan jimat namun tanpa tempat meletakkan khusus akan menimbulkan kesukaran terutama ketika ia terjatuh dan terbuka dari gulungan. Untuk itu, dengan merekanya sendiri, ia setentunya mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Persediaan sebelum memulakan projek
Sebelum memulakan projek rekaan, terlebih dalu sediakan barangan penting seperti kepingan papan, mesin pemotong kayu, mesin gerudi, gam kayu, pengepit kayu, mesin router, ketam kayu atau mesin ketam, skru, mata gerudi berdiameter 2mm (untuk lubang skru) dan 8mm (untuk dowel), dowel, kertas pasir, pahat kayu, pita pengukur, pensel penanda, pahat kayu,
Langkah pembuatan satu persatu
Melalui langkah pertama pembuatan, kepingan papan yang tersedia pada awalnya perlu diratakan keseluruhan permukaan bagi memastikan struktur rak yang dicantumkan nanti mempunyai ukuran yang sama rata.
Gunakan mesin ketam kayu untuk melakukannya namun jika awda mahir dalam penggunaan ketam tradisional (manual), menggunakannya juga mampu memberikan hasil akhir yang hampir sama.
Jika mesin ketam sukar untuk didapatkan atau dimiliki, membeli kayu yang telah diketam dari kilang merupakan pilihan yang ada namun ia agak berharga sedikit dibandingkan dengan yang masih kasar atau mentah.
Setelah permukaan kayu diratakan menjadi ketebalan ¾”, papan tersebut akan dipotongkan dengan lebar 6” menggunakan mesin pemotong kayu. Dengan lebar yang telah didapatkan, kayu-kayu tersebut kemudiannya akan dipotongkan dengan panjang yang diperlukan iaitu sekeping kayu
berukuran 31”, sekeping berukuran 21”, sekeping berukuran 6 ¾” dan tiga keping kayu 6” serta sekeping kayu dengan panjang 7”
Empat keping kayu berukuran 31”, 21”, 6 ¾” dan 7” panjang pada salah satu bahagian hujungnya akan dipotongkan dengan sudut 45 darjah. Ia akan memainkan peranan ketika dicantumkan dengan bahagian lain di mana sudut cantuman sebegitu akan menunjukkan gaya rekaan yang tampak profesional dan kemas selain cukup kukuh.
Langkah seterusnya ialah mereka ruangan sokongan untuk menempatkan kayu dengan panjang 6” pada bahagian dalam. Sebelum memulakan langkah tersebut, terlebih dahulu ruangan yang perlu dibuangkan perlu ditandakan menggunakan pensel. Ini bagi memastikan tidak berlaku kesilapan dalam menetapkan kedudukan ketika meneruskan proses membuang ruangan kayu.
Untuk memudahkan proses menanda-kan bahagian tersebut, gunakan sekeping kayu daripada bahagian rak kayu yang telah dipotongkan (kayu 6”) yang dijadikan panduan bagi menandakan ukuran yang tepat yang kemudiannya akan dilorek menggunakan beberapa cara bersesuaian.
Salah satu cara ialah menggunakan mesin router dengan mata yang bersesuaian. Awda perlu mereka ruangan dengan kedalaman ¼” dan bagi lebarnya pula ialah ¾” sesuai dengan ketebalan kayu.
Cara lain untukA mereka ruangan tersebut dengan mudah ialah dengan menggunakan mesin pemotong kayu. Ruangan yang telah ditandakan menggunakan pensel sebelumnya akan dipotong juga dengan mata gergaji yang dinaikkan (mata yang terkeluar dari permukaan meja mesin) dengan ketinggian ¼”.
Manakala cara tradisional yang juga terbukti efektif ialah dengan menggunakan pahat kayu. Dengan mengetuk belakang pahat menggunakan tukul bersesuaian, bahagian yang ditandakan akan dibuangkan perlahan-lahan sehinggalah mendapatkan kedalaman ruangan yang diperlukan. Gunakan vernier caliper untuk memeriksa kedalaman yang diperlukan dengan tepat dan mudah.
Memandangkan mata gergaji tidak mampu melakukan tugas dengan satu langkah untuk mendapatkannya, ia memerlukan awda melakukan pemotongan berulang kali pada ruangan ditandakan (perlu dibuang) tersebut. Ini akan menghasilkan sedikit kepingan kayu yang kekal tercantum di bahagian tersebut dan bagi membuangkannya, gunakan pahat kayu yang cukup tajam.
Bagi tempat menggantungkan kertas tisu, kayu berbentuk ‘L’ akan direka menggunakan mesin jigsaw, skroll atau bandsaw. Bentuk ‘L’ yang direka adalah bagi memastikan kertas tisu yang ditempatkan nanti tidak akan terkeluar ketika ditarik untuk digunakan.
Selesai melakukan langkah tersebut, awda bolehlah beralih ke langkah mencantumkan keseluruhan bahagian menggunakan gam kayu.
Terdapat dua teknik dalam mencantumkan struktur rak iaitu dengan cara mencantumkannya secara langsung hanya menggunakan gam kayu yang kemudiannya dikekalkan kedudukannya menggunakan pengepit kayu dan penggunaan dowel di setiap bahagian cantuman untuk memastikan kedudukannya tepat dan tidak mudah teralih ketika tekanan diberikan menggunakan pengepit kayu.
Mula-mula cantumkan kayu-kayu berukuran 6” dan 6 ¾” (bahagian yang tercantum dengan hujung kayu 21” panjang) pada bahagian dalam kayu dengan panjang 31”, diikuti dengan kayu 21” panjang dan 7” pada bahagian atas. Setelah itu cantumkan kayu berbentuk ‘L’ yang direka untuk menempatkan kertas tisu.
Setelah gam mengering, permukaan kayu bolehlah disapukan dengan wood wax atau varnis untuk melindungi permukaannya. Rak kertas tisu yang telah siap direka kini hanya perlu ditempatkan di ruangan yang sesuai. Selain kegunaan untuk kebersihan diri, ia juga mampu menjadikan sesebuah ruangan lebih teratur.