Rak pelbagai guna hias bilik mandi

Oleh Amri HTZ

Kepentingan memiliki rak kecil dalam ruangan bilik mandi dapat menjadikan barangan mandi nampak lebih teratur dan bersih selain mampu menghiasinya.

Barangan mandi yang ditempatkan di dalamnya juga memudahkan seseorang untuk mencapainya ketika ingin menggunakannya. Tanpa kehadirannya, barangan pembersih diri tersebut setentunya tampak tidak teratur dan lebih parah, berselerak di atas lantai bilik mandi. Jika hal ini berlaku, itu tandanya anda memerlukan rak bilik mandi dan mendapatkannya adalah mudah malahan boleh dibuat sendiri.

Sedia dan rancang sebelum reka

Bagi mereka rak bilik mandi ini, beberapa barangan yang diperlukan ialah seperti kepingan papan, mesin pemotong kayu, ketam kayu (secara manual atau mesin), gam kayu, berus gam, varnis, mesin router, atau pahat kayu, stapler atau skru, pita pengukur dan cecincin penggantung rak.

Mudah untuk direka

Papan-papan yang digunakan dalam projek ini tidaklah semestinya sesuatu yang baharu. Penggunaan papan-papan terbiar atau guna semula juga dibolehkan tetapi permukaannya perlulah dibersihkan terlebih dahulu dan bebas daripada paku dan sebagainya. Ini bagi memastikan ketika proses meratakan permukaan menggunakan ketam kayu tidak akan merosakkan mata ketam terutama jika anda menggunakan ketam kayu jenis mesin memandangkan ia agak sukar untuk dibaiki semula (mata ketam).

Setelah papan-papan bebas daripada material besi, mulakan proses meratakan kayu dengan berhati-hati. Penggunaan ketam kayu manual memerlukan anda untuk memastikan matanya cukup tajam agar ia tidak tersekat-sekat apabila disorong atau ditarik sekali gus menyukarkan langkah meratakannya.

Gunakan bantuan pengepit kayu semasa proses mencantumkan struktur rak agar ia lebih kukuh.
Gunakan bantuan pengepit kayu semasa proses mencantumkan struktur rak agar ia lebih kukuh.

Lindungi permukaan kayu menggunakan varnis atau cat agar ia tidak menyerap kelembapan

Buangkan lebih kurang 1mm atau 2mm permukaan kayu dan pastikan ketebalan kesemua papan-papan adalah sama. Dalam projek ini, rekaan mini rak ini adalah bagi mengisikan ruangan yang terdedah dalam bilik mandi dan ukurannya adalah khusus bagi ruangan tersebut.

Namun ini bukanlah bererti anda tidak boleh membuatnya. Rak yang direka nanti juga boleh digantungkan di mana-mana ruangan bilik mandi yang dirasakan sesuai.

Papan-papan dengan ketebalan ½” (setelah diketam) akan dipotongkan dengan lebar 4”. Proses pemotongan menggunakan mesin pemotong kayu akan menjadi lebih cepat dan mudah berbanding secara manual. Selain itu, ketepatan potongan sudut juga boleh dicapai dengan mudah di mana jika secara manual, ia memerlukan anda untuk meratakannya lagi menggunakan ketam kayu.

Setelah memotongkan kesemua papan dengan lebar 4”, papan-papan tersebut kemudian akan dipotongkan dengan panjang 25” untuk dua keping dan 16” (dua keping) serta 15.5” (dua keping). Jika anda mahu mereka lebih daripada sebuah rak, bagi menyeimbangkan hiasan dalam ruangan tersebut, merekanya pasangannya (satu lagi rak dengan bentuk dan ukuran sama) setentunya lebih menarik terutama ketika ia ditempatkan di kiri dan kanan cermin bilik mandi.

Papan dengan kepanjangan 25”, yang akan dijadikan kedua-dua bahagian sisi struktur, akan ditandakan dengan kedudukan 7” dan 14” pada bahagian dalamnya untuk menempatkan dua keping papan berukuran 15.5” tadi. Bahagian yang ditandakan tersebut kemudiannya akan dilorek sama ada menggunakan mesin router atau pahat kayu, dengan lebar yang sama dengan ketebalan papan (½”) dan kedalaman ¼”.

Sebelum memulakan proses mencantumkan struktur rak, pastikan gam kayu yang digunakan cukup kukuh dan kalis air memandangkan ia akan di tempatkan di ruangan yang mempunyai kelembapan dan kemungkinan bersentuh air. Kepingan papan dengan panjang 25” akan dicantumkan dengan papan 16” untuk bahagian atas dan bawah. Ini diikuti dengan papan 15.5” pada bahagian dalam struktur rak. Setelah itu, kekalkan sementara kedudukan cantuman menggunakan pengepit kayu dan biarkannya mengering lebih kurang 24jam.

Jika menunggu lama bukan satu pilihan, bagi membantu mengekalkan kedudukan cantuman tanpa menggunakan pengepit kayu, gunakan stapler atau paku berukuran kecil untuk menetapkannya. Dengan ini, gam pada cantuman yang dibiarkan mengering lebih kurang tiga jam sudah boleh dikendalikan di mana anda perlu membuangkan lebihan gam menggunakan pahat kayu.

Langkah terakhir adalah melindungi permukaan kayu agar tidak menyerap air atau kelembapan menggunakan varnis atau cat. Gosok permukaan kayu dengan kertas pasir berukuran 1,500 grit bagi meratakan dan menghalusinya, setelah itu berus atau sembur cat pada permukaan rak dengan dua atau tiga lapisan. Berikan masa untuk cat mengering pada setiap lapisan sebelum memberus atau menyemburkan lapisan baharu. Apabila cat telah mengering sepenuhnya, anda hanya perlu menempatkannya pada ruangan dinding bilik mandi yang dirasakan sesuai, atau lebih penting, mudah dicapai!