Rakam detik menarik Bandarku Ceria

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Kumpulan Brunei Daily Snaps telah berkumpul di ibu negara, hari ini, bagi photowalk street-beat pertama mereka untuk merakam detik-detik menarik semasa program Bandarku Ceria.

Aktiviti berkenaan bertujuan untuk merakam beberapa detik menarik dengan cara yang kreatif dari mata orang tempatan.

Duta Kumpulan Brunei Daily Snaps, Dayang Aisha Diana @ Mewsum Wong mengatakan bahawa fotografi pada masa ini tidak seperti 20 tahun yang lalu.

“Munculnya kamera digital menjadikan keseluruhan proses fotografi filem lebih cepat dan hari ini fotografi berkomputasikan telefon bimbit membawa gambar berkualiti tinggi di hujung jari pada peranti harian anda.

“Telefon bimbit adalah komputer yang kuat, mampu mencapai beberapa perkara yang menakjubkan dengan cara yang positif.

Antara peserta yang menyertai acara photowalk berkenaan.
Para peserta berjalan di atas titian untuk merakamkan detik-detik menarik.

“Tetapi kita cenderung menggunakan komputer super ini untuk perkara asas seperti menghantar emoji atau meneliti kehidupan peribadi orang lain dalam pautan berita media sosial. Ini boleh mempengaruhi kita dengan cara yang tidak wajar,” tegasnya.

Kumpulan berkenaan dirancang untuk mendorong orang-orang meninggalkan tabiat kebiasaan media sosial dan merangkul saat ini dengan keluar dan menangkap gambar sehari-hari di negara ini.

Brunei Daily Snaps menjadi perubahan positif yang sangat dialu-alukan dalam komunitinya dan ini dibuktikan dengan hanya dalam lebih dua bulan, mereka mempunyai lebih 5,000 orang ahli.

“Persahabatan fotografi telah terbentuk dan tabiat kreatif baharu berkembang. Orang membeli lebih banyak telefon bimbit dan kamera dengan tujuan untuk membuat post dalam kumpulan dan belajar fotografi. Ini merevitalisasi sektor ini,” lanjutnya.

Dayang Aisha Diana menambah bahawa satu lagi kesan sampingan positif daripada alat jam tangan pintar dan aplikasi telefon pintar adalah ia menjadikan photowalk tersebut menghasilkan pengalaman senaman berimpak rendah yang menyeronokkan.

Mereka yang terlibat telah mencatat skor senaman mereka, contohnya lebih 10,000 langkah telah direkodkan. Oleh itu, Kumpulan Brunei Daily Snaps mendorong semua orang untuk menyertai kumpulan Brunei Daily Snaps Photography dan menyertai mereka dalam tabiat yang sihat tersebut.

Brunei Daily Snaps berusaha untuk meletakkan bakat Brunei di peringkat antarabangsa di mana penduduk tempatan dapat memasuki pertandingan dengan potensi untuk memenanginya. Mereka berhasrat untuk mewujudkan bintang fotografi yang sihat di Negara Brunei Darussalam.

“Inilah sebabnya mengapa di jersi kumpulan kami, semua orang bergelar duta kumpulan. Potensi ada di dalam mereka,” kata Dayang Aisha.

Tambahnya lagi, acara pada hari ini juga merupakan acara amal di mana hasil jualan daripada jersi berkenaan, yang dijual kepada ahli-ahli mereka, diberikan kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.