Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Rakam kenangan melalui rekaan luar biasa

    Oleh Amri HTZ

    Menikmati percutian ke tempat-tempat yang disukai bersama keluarga merupakan sesuatu yang amat dinanti-nantikan terutamanya ketika tibanya cuti hujung minggu.

    Selain merakamkan gambar bersama sebagai kenang-kenangan, sesetengah individu mengambil langkah yang lebih jauh dengan mendapatkan sesuatu berasal dari tempat yang dikunjungi.

    Ini boleh berupa batu-batu kecil, pasir, daun dan sebagainya dalam kuantiti yang sikit dan disimpan dalam bekas khusus kemudian diletakkan bersama gambar yang telah dirakamkan. Langkah yang lain daripada kebiasaan ini setentunya suatu yang boleh diikuti dan projek rekaan kali ini akan mengajarkan awda untuk menempatkan ‘kenangan’ khusus ke dalam buah rantai.

    Barangan yang diperlukan

    Projek mereka buah rantai unik yang cukup mudah untuk menempatkan barangan kenangan di dalamnya ini memerlukan awda untuk menyediakan barangan seperti fius jenis tiub (seperti botol kecil), ring kecil (jump ring), pasir pilihan, rantai untuk menggantung buah rantai, alat blow torch mini, superglue, cecair isopropil, pisau utiliti, playar, penyedut pateri, pes fluks pateri, plumbum pateri, sarung tangan tahan panas dan alas kerja terbuat daripada batu.

    Langkah pembuatan yang cukup ringkas

    Sebagai permulaan langkah rekaan, pastikan ruangan kerja awda bebas daripada bahan mudah terbakar atau lebih baik jauh daripada barangan lain. Ini disebabkan langkah mereka buah rantai ini akan menggunakan api daripada alat blow torch. Oleh itu untuk langkah keselamatan, ruangan kerja perlulah dibersihkan dan dikosongkan dahulu bagi mengelakkan berlakunya kebakaran.

    Antara barangan yang diperlukan untuk menjayakan projek rekaan.
    Penutup fius yang telah tertanggal perlu dibersihkan permukaan luaran dan dalaman menggunakan cecair isopropil.
    Proses pembakaran besi penutup fius untuk menanggalkannya.
    Pes fluks dan pateri yang telah ditempatkan sebelum proses mencairkannya dengan cara membakarnya.

    Setelah memastikan ruangan kerja selamat, letakkan alas kerja yang terbuat daripada batu pada permukaan meja. Tujuan alas tersebut digunakan bagi memastikan permukaan kerja tidak terbakar dalam proses menanggalkan besi fius daripada tiub kacanya. Selain penggunaan alas daripada batu, awda juga boleh menggunakan jubin atau alas khusus kalis api.

    Apabila alas kerja telah diletakkan, fius tersedia akan dibakar dengan menumpukan pada permukaan besi pada bahagian hujung fius. Tumpukan perhatian pada salah satu bahagian besi untuk menanggalkannya sebelum beralih ke bahagian hujung fius satu lagi. Dengan mendirikan atau memegang bahagian atas fius menggunakan playar, bakar permukaan besi berkenaan sehingga ia tertanggal daripada tiub. Lakukan langkah yang sama untuk menanggalkan besi pada bahagian hujung fius yang satu lagi.

    Kotoran pada permukaan tiub hasil daripada langkah menanggalkan besi daripada tiub tersebut akan dibersihkan menggunakan pisau utiliti dan cecair isopropil.

    Tumpukan perhatian untuk bahagian luaran dan dalaman tiub di mana pada bahagian dalam awda boleh menggunakan kapas pembersih telinga memandangkan ukurannya yang sesuai dan bertangkai memudahkan ia dikendalikan.

    Pada bahagian besi pula, awda akan menyedari terdapat sedikit plumbum pateri di dalamnya. Untuk membuangkannya, bakar bahagian besi dalam keadaan bahagian terbuka menghala ke bahagian bawah sehingga plumbum cair dan mengalir. Mengetuk bahagian atasnya secara perlahan menggunakan playar juga membantu proses membuang plumbum pada langkah ini.

    Apabila kesemua bahagian telah dibersihkan menggunakan isopropil, langkah seterusnya memerlukan awda untuk melekatkan salah satu besi penutup fius menggunakan gam.

    Semasa proses mengamkan penutup fius, awda disarankan untuk membersihkan tangan atau menggunakan sarung tangan agar kotoran yang terdapat padanya tidak menjejaskan rekaan.

    Masukkan beberapa titik superglue ke dalam besi penutup tiub berkenaan dan sapukan lebihan gam setelah tiub dimasukkan. Biarkan gam mengering untuk beberapa minit sebelum beralih ke langkah seterusnya.

    Bagi penutup fius yang satu lagi akan dipasangkan dengan ring kecil sebagai penggantungnya. Letakkan penutup fius pada permukaan kerja dan sapukan permukaan atasnya dengan fluks pateri.

    Setelah itu potong sedikit plumbum pateri dengan ukuran lebih kurang 5mm dan letakkan pada permukaan atas tengah penutup fius bersama-sama dengan fluks pateri. Ring kecil yang akan dicantumkan terlebih dahulu perlu dikepit pada bahagian hujung playar bagi memudahkan langkah meletakkannya.

    Setelah semuanya tersedia, bakar fluks pateri tadi sehingga cair. Ketika ia mencair letakkan ring kecil pada bahagian te- ngah permukaan besi. Apabila pasti kedudukannya betul-betul berada di tengah, matikan api dan biarkan ia sejuk yang cuma akan mengambil beberapa saat.

    Walaupun fluks telah sejuk, namun besi penutup fius akan kekal panas dan pastikan awda tidak memegangnya terus. Biarkan besi menjadi sejuk untuk beberapa minit atau rendamkan ke dalam bekas berisi air sebelum mengendalikannya untuk langkah seterusnya.

    Pes fluks pateri yang digunakan bertujuan untuk membantu proses memateri dengan membuangkan saput oksida daripada permukaan besi yang dipateri.

    Selain itu ia juga membantu fluks yang mencair menjadi kemas pada keseluruhan permukaan ketika ia sejuk membuatkan cantuman ring kecil tampak bersih dan profesional.

    Langkah seterusnya ialah mengisikan ruangan tiub dengan pasir yang dimiliki, mahupun pelbagai barangan berukuran kecil yang mempunyai kenangan mahupun ceritanya tersendiri.

    Setelah mengisikan ruangan tiub tersebut, kini awda boleh menetapkan penutup tiub yang dicantumkan dengan ring kecil sebelumnya menggunakan superglue.

    Rekaan unik yang mampu menyimpan pelbagai kenangan ini selain dijadikan buah rantai, ia juga boleh dijadikan koleksi yang diletakkan di dalam kotak khusus untuk mempamerkannya.

    Ia juga cukup versatil yang boleh diletakkan di mana-mana sama ada dalam kenderaan, atas meja kerja mahupun digantung pada telefon bimbit.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...