Rakam panorama indah melalui dron

Oleh Yusrin Junaidi

Dulunya permainan alat kawalan jauh yang boleh terbang seperti kapal terbang dan helikopter mini hanya digunakan sekadar hobi bagi mengisi masa lapang atau sebagainya.

Kini, kewujudan satu lagi alat kawalan jauh yang dikenali sebagai dron semakin digilai oleh pengguna kerana kecanggihannya yang dilengkapi dengan kamera.

Pada asalnya dron dicipta bagi kegunaan ketenteraan, namun kini dron menjadi hobi malah dikomersialkan bagi penggiat fotografi. Ini kerana dron pada kebiasaannya dilengkapi dengan kamera yang mampu menangkap gambar atau video panorama indah dari sudut tinggi (high angle).

Namun dron tidak boleh diterbangkan dengan sewenang-wenangnya tanpa asas betul kerana boleh menjejaskan keselamatan dan isu berkaitan.

Justeru pemandu dron atau ‘pilot’ perlu mempunyai ilmu serta memahami selok-belok penerbangan kapal terbang mini berkenaan supaya tidak menjejaskan reputasi mahupun penggiat industri fotografi udara.

Dron memiliki beberapa spesifikasi tertentu yang boleh menelan kos yang tinggi hingga ada yang harganya boleh mencecah ribuan ringgit.
Gambar menunjukkan panorama indah yang diambil dari sudut tinggi menggunakan dron.

Perkara tersebut disarankan oleh dua orang penggiat ‘tegar’ model kapal terbang mini, Macman dan Awang Azizi Abdullah ketika ditemui Media Permata pada sesi demonstrasi model dron Mavic Mini dan DJI Spark baru-baru ini.

Ketahui tatacara dan undang-undang penerbangan dron

Penulis difahamkan bahawa kedua-dua informan memiliki kecekapan dalam pengendalian dron bagi mempelbagaikan pengambilan gambar subjek dari sudut yang berbeza.

Mereka juga turut mempelajari serta memahami cara pengendalian yang betul daripada beberapa orang rakan yang juga meminati dron. Pentingnya memiliki teknik pengendalian dron yang betul kerana model dron yang berspesifikasi tinggi boleh menelan kos yang tinggi hingga mampu mencecah ribuan ringgit untuk memilikinya.

Macman berkata, dia terbabit dalam pengendalian dron sejak 10 tahun lalu kerana komitmen beliau terhadap pelanggan yang mengharapkan mutu visual menerusi pandangan sudut tinggi mendesak dia memiliki model berkenaan.

Beliau mengakui cabaran ketika itu sangat besar kerana dia terpaksa menghadiri kelas tertentu sebelum mengendalikan dron.

“Dulu pemilik dron perlu mengambil inisiatif sendiri, termasuk menghadiri kelas khas dalam memahami cara pemanduan dan pengendaliannya. Ia bukan sewenang-wenangnya untuk mengendalikannya kerana model saya gunakan berkualiti sederhana,” jelas beliau.

Macman juga menjelaskan, beliau menggunakan dron di peringkat ‘medium range’ yang memerlukan akses talian kepada sistem satelit untuk membolehkannya terbang.

Tambah beliau penjual model dron ketika itu tidak menyediakan sebarang perkhidmatan mengajar pengendalian, menyebabkan beliau terpaksa menghadiri beberapa taklimat agensi tertentu.

Bagi pemilik dron yang hendak menerbangkannya harus memohon kebenaran ke Jabatan Penerbangan Awam (DCA) terlebih dahulu untuk mengetahui tatacara dan undang-undang ketika menerbangkan dron.

Di Negara Brunei Darussalam, peraturan-peraturan yang ditetapkan memang berbeza sekali dengan negara-negara lain, memandangkan negara kita mempunyai teras Melayu Islam Beraja, yang setentunya peraturan dan undang-undang memang berbeza sekali dengan negara lain.

Pihak DCA juga akan memberikan nasihat tentang ‘Fly it Safely: Do’s and Don’t’ kepada pemilik-pemilik dron di Negara Brunei Darussalam. Antara nasihat dan tanggungjawab untuk seorang pemilik dron haruslah mematuhi bebe rapa perkara seperti menerbangkan dron tidak melebihi 100 meter dikawasan berhampiran dengan mana-mana lapangan terbang utama.

Walaupun memiliki dron bukan satu galakan, namun pemilik dron dimestikan mengenali lebih dekat dron yang diterbangkan dan tahu cara menggunakannya dengan selamat. Pemilik dron hanya dibenarkan menerbangkan dron pada siang hari sahaja, agar dron sentiasa dapat dilihat setiap masa untuk memastikan jarak keselamatan yang dibenarkan antara orang ramai dan memastikan operasi sistem dron berdaftar dengan pihak AiTi.

Antara perkara-perkara yang tidak dibenarkan dalam pengendalian dron ialah pemilik tidak dibenarkan menerbangkan dron lebih dari 7kg, tidak dibenarkan menerbangkan dron semasa keramaian tanpa kemahiran yang cukup, tidak dibenarkan membawa apa jua barangan dengan dron, tidak dibenarkan menerbangkan dron ketika kereta kecemasan (ambulans) bergerak atau menjalankan tugas, tidak dibenarkan menerbangkan dron melebihi had tinggi yang ditetapkan, dan tidak dibenarkan menerbangkan dron di kawasan lapangan terbang atau pangkalan udara tentera.

Jadikan dron sebagai fotografi udara

Sementara Awang Azizi Abdullah berkata, peminat fotografi udara tidak perlu gusar kerana mereka boleh mulakan hobi memiliki dron bermula dengan model pada kualiti asas.

“Memang dengar saja harga model untuk peringkat sederhana dan tinggi, tidak terjangkau memiliki permainan mencecah ribuan ringgit, tetapi mereka ada pilihan memulakan hobi dalam fotografi udara dengan spesifikasi asas.

“Mereka boleh menggunakan model tanpa Global Positioning System atau GPS hanya boleh terbang sekitar lima meter ke bawah dan tidak lebih 100 meter jauhnya.

“Mereka boleh belajar dengan kualiti kamera lebih rendah dan menerbangkannya dengan baik sebelum menaik taraf kualiti dron serta kamera untuk tujuan fotografi sudut tinggi.

“Ini membantu mereka untuk mengelak berlaku isu tertentu, termasuk dron rosak mahupun dicuri atau didakwa atas kesalahan tertentu. Mula perkemaskan diri asas teknikal, penerbangan dan memahami undang- undang,” katanya.

Di negara ini, memang belum ada yang menyediakan kursus-kursus tertentu menerbangkan dron. Beliau berharap pihak-pihak tertentu akan menyediakan kursus-kursus tertentu agar pemilik dron tahu akan undang-undang dan dapat memahirkan diri mereka dengan lebih profesional memandangkan trend dron semakin berkembang.

Menurut penulis, ‘pilot’ baharu perlu jelas dengan etika penerbangan untuk mengelak berlakunya impak negatif terhadap pemilik dron lain akibat cetek pengetahuan dalam sesetengah hal berkaitan dengan pengendalian dron.

Beliau yang turut aktif bersama dengan kumpulan komuniti FPV sentiasa berharap kesempatan yang diberikan oleh pihak berkuasa dalam aktiviti berkenaan haruslah difahami sewajarnya bagi kalangan penggiat baru.

Penulis tidak mahu sesetengah penggiat baharu yang tidak peka dengan situasi pengendalian dron menjejaskan hobi bagi peminat fotografi udara.

Menurutnya lagi, sikap tidak bertanggungjawab dikhuatiri mengheret pemilik dron yang lain terutama sekali mereka yang profesional terpaksa memendam rasa andainya pihak berkuasa mula menetapkan sekatan terhadap memiliki dron seperti yang telah dilaksanakan di negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand.

“Sekali gus ia memberi kesan kepada peminat fotografi udara mahupun penggiat seni visual memandangkan sesetengah mereka adalah bekerja sepenuh masa menggunakan dron.”

Perbezaan antara penggiat komersial dengan hobi berdasarkan beberapa kriteria.

“Kami selaku pengamal media bertugas merakam visual serta gambar korporat perlu mendapatkan kebenaran dari DCA sebelum melaksanakan sebarang tugas penggambaran. Ini prosedur wajib dan masih ada beberapa peraturan kami perlu patuhi.

“Begitu juga dengan mereka yang berjinak-jinak dengan aktiviti ini perlu peka dengan peraturan tertentu, atau mana-mana pengguna yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan menjadi satu kesalahan dan jika sabit kesalahan akan dikenakan denda,” katanya.