Rakan bapa saudara Nora Anne terima mesej bomoh

SEREMBAN, 27 OGOS – “Saya ada terima maklumat daripada seorang rakan kepada ahli keluarga Nora Anne yang menyatakan menerima mesej menerusi WhatsApp daripada bomoh,” demikian kata seorang saksi prosiding inkues bagi mengetahui punca kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner di sini, hari ini.

Pegawai Turus Bahagian Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan ASP Chong Meei Chyi (gambar bawah), saksi keempat pada prosiding yang masuk hari keempat hari ini, memberitahu mesej yang diterima lelaki berkenaan, antara lain berkaitan tentang keberadaan serta perasaan yang dialami remaja itu daripada beberapa bomoh di luar negara.

“Saya ada bertanya Dominic (yang merupakan rakan kepada bapa saudara Nora Anne) daripada mana dia mendapat mesej berkenaan dan memaklumkan bahawa dia memperoleh daripada kawan dan saudara-mara.

Terdapat tiga mesej menyatakan Nora Anne diikuti oleh some people di lapangan terbang (KLIA) dan Nora masih hidup, katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Maimoonah Aid pada prosiding berkenaan.

Chong berkata sebaik memperoleh maklumat itu, beliau seterusnya telah menyalurkannya kepada pusat operasi misi mencari dan menyelamat (SAR) remaja berkenan, untuk tindakan selanjutnya.

Ditanya adakah beliau mengetahui dari manakah bomoh berkenaan, saksi berkata: “Bomoh dari negara mana saya tak pasti kerana mereka tak beritahu. Semua maklumat yang diberikan bomoh ini telah kita ambil tindakan namun keputusan negatif.” – Bernama