Rakan sebaya wadah sistem sokongan

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Rakan sebaya khususnya kalangan belia adalah amat penting kerana mereka mampu memainkan peranan dalam membantu rakan-rakan lain untuk berkongsi tekanan atau masalah yang dihadapi.

Peranan penting rakan sebaya itu dijelaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin ketika menyampaikan kata-kata nasihat di penutup Program Peer Empathize and Embracing Resilience (PEER) yang berlangsung di Dewan Utama, Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

Mengulas mengenai Program PEER, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan berharap program itu akan dapat terus dilaksanakan, diperbaiki serta diperhalusi hasil daripada maklum balas yang diterima melalui peserta-peserta program.

Beliau menyatakan program itu harus menjadi kreatif, menarik minat, menyeronokkan serta dapat diterima oleh golongan sasaran khususnya belia menggunakan pendekatan yang mengambil kira akan kaedah yang dikehendaki oleh mereka.

Program PEER diadakan selama tiga hari hingga 12 Disember dan dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan; Kementerian Hal Ehwal Ugama; EMPOWERIOR Counseling & Consultancy; Kumpulan Syababul Iman; Medley House Productions dan Soul Industry.

Program itu disertai oleh seramai 33 orang peserta daripada kalangan belia yang berumur di antara 16 hingga 28 tahun di mana ia bermatlamat untuk menjadikan para belia sebagai sistem sokongan kepada rakan belia lain yang mengalami masalah kesihatan mental.

Di samping itu, ia juga diharap melengkapkan para belia dengan kemahiran dalam mengenal pasti masalah kesihatan mental, berempati dan menyelesaikan masalah melalui kaedah perbincangan dan ekspresi diri untuk lebih berdaya tahan.

Menerusi program itu juga, para belia berkemampuan untuk mengekspresikan diri mereka kepada sesuatu yang lebih positif dan seterusnya menjurus kepada kehidupan yang lebih sihat serta memberi pulangan kepada masyarakat melalui kerja kesukarelawanan dan kemasyarakatan.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan sijil kepada peserta Program PEER.
Antara persembahan yang diketengahkan oleh para peserta Program PEER.