Rakhine: Air tiada, ternakan mati

YANGON, 14 Mei – Penduduk Rakhine yang terperangkap dengan perbalahan tentera Myanmar berkata hari ini, mereka kekurangan air ketika operasi menentang pemberontak etnik yang disyaki – yang membunuh enam orang dan menyaksikan penahanan besar-besaran – telah memasuki minggu ketiga.

Ribuan tentera telah dikerahkan ke seluruh utara Rakhine untuk membanteras pemberontak Tentera Arakan (AA) dalam keganasan yang telah menempatkan lebih dari 30,000 orang sejak Disember lalu.

Pasukan bersenjata Myanmar menggunakan artileri berat ke atas AA, yang bertempur untuk mendapatkan lebih banyak autonomi bagi penganut Buddha etnik Rakhine negara itu, namun orang awam mengatakan mereka turut terkena tempiasnya dalam operasi itu.

Perpecahan etnik dan agama yang kompleks telah berlaku di seluruh negeri Rakhine.

Ia juga merupakan tempat serangan tindakan keras tentera ke atas penganut Muslim Rohingya pada tahun 2017, yang memaksa kira-kira 740,000 masuk ke sempadan Bangladesh dalam keganasan yang dilabel sebagai ‘genosid’ oleh penyiasat PBB.

Pada 30 April, pasukan keselamatan menyerang etnik Rakhine di kampung Kyauk Tan di bandar Rathedaung dengan 275 lelaki ditahan untuk disoal siasat di sebuah sekolah.

Mereka mengaku menembak mati enam tahanan dan mencederakan lapan lagi dua hari kemudian, mendakwa lelaki tersebut cuba menyerang mereka.

Lapan lelaki telah ditangkap dan dibawa ke ibu negeri Sittwe, kata jurucakap tentera Brigedier Jeneral Zaw Min Tun, sambil menambah bahawa enam daripada mereka mengaku sebagai anggota AA.

Katanya lagi, semua tahanan yang tinggal dibebaskan kelmarin.

Namun penduduk memberitahu AFP melalui telefon hari ini, kampung itu masih ditutup – manakala bekalan makanan dan air semakin berkurangan dan di tahap kritikal.

“Manusia dan haiwan mengalami rasa dahaga disebabkan kami masih tidak dapat keluar dari kampung,” kata ketua kampung Tun Thein, 56.

“Beberapa ekor haiwan mati kebuluran dan dahaga,” katanya, sambil menambah askar-askar masih lagi menghalang penduduk daripada bergerak bebas.

Seorang lagi wanita, yang tidak mahu dinamakan, berkata penduduk kampung telah dipaksa untuk menjerang ‘air berlumpur’ untuk diminum.

Zaw Min Tun berkata setakat yang dia tahu hanya orang yang berdepan kekangan adalah tahanan yang dibebaskan sekiranya mereka diperlukan untuk ‘siasatan lanjut’.

Akses ke utara negeri Rakhine sangat terhad, menjadikan pengesahan bebas menjadi sukar. – AFP