Rakyat bersyukur, raja pemeduli

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mencerminkan keperibadian yang mulia dengan sifat penyayang dan pemedulian terhadap kebajikan serta kemaslahatan rakyat Baginda.

Bukan setakat itu, Baginda juga sanggup bercemar duli bersama rakyat dan prihatin terhadap aduan-aduan dan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat Baginda.

Baginda juga sanggup turun padang menemui rakyat dan melihat sendiri perkembangan dan kemajuan projek-projek kerajaan yang telah diusahakan dan sedang diusahakan.

Demikian kata khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini menjelang sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang ke-71 esok.

Menurut khatib, banyak kemajuan telah dicapai dan dinikmati di bawah pemerintahan Baginda hingga menjadikan Negara Brunei Darussalam seiring dengan negara lain dalam pelbagai bidang, baik dalam bidang agama, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan lain-lain lagi.

Katanya, dengan kepimpinan dan usaha serta kegigihan Baginda itulah yang membawa Negara Brunei Darussalam dikenali dan dihormati di mata dunia.

“Kita bersyukur kedaulatan negara, rakyat dan penduduk di negara ini sentiasa di dalam nikmat dan rahmat Allah yang mana negara juga sentiasa terpelihara, aman dan sejahtera di bawah pemerintahan, pemedulian dan keprihatinan raja yang sentiasa mengutamakan kebajikan serta keharmonian negara.”

Khatib seterusnya menjelaskan, Baginda merupakan raja yang sentiasa menitik beratkan ajaran Islam dan hukum Allah dalam pentadbiran dan undang-undang negara.

Sehubungan itu, khatib mengingatkan supaya jangan lupa bahawa nikmat ini tidak akan kekal selama-lamanya, sekiranya tidak dijaga dan dipelihara malah ia boleh mengundang azab atau bala bencana.

“Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada umat Islam kunci untuk mengekalkan nikmat tersebut adalah dengan menzahirkan rasa syukur kepadaNya.

“Baginda yang memerintah kerajaan dan negara ini adalah ulil amri dan adalah wajib mentaati ulil amri dan sebagai rakyat dan penduduk di negara ini hendaklah taat dan kasih kepada pemerintah dan mematuhi serta menerima segala arahan kerajaan selagi arahan yang di berikan itu tidak bertentangan dengan hukum syarak,” jelas khatib.