Rakyat Iran undi presiden baharu

TEHRAN, 18 JUN – Penduduk Iran mengundi hari ini dalam pilihan raya presiden di mana ulama ultrakonservatif Ebrahim Raisi dijangka menang besar selepas semua pencabarnya dilarang daripada bertanding.

Selepas kempen hambar, kehadiran pengundi dijangka merosot kepada tahap rendah baharu di sebuah negara yang mengalami kesan teruk akibat sekatan ekonomi AS tanpa harapan untuk masa depan cerah.

Pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei, membuang undi pertama di Tehran dan seterusnya menggesa hampir 60 juta pengundi Iran melakukan yang sama sebelum pilihan raya dijadual ditutup pada tengah malam.

“Lebih awal anda menanai tanggungjawab ini, lebih baik keputusannya,” kata Khamenei, 81, menekankan pengundian ‘berfungsi membina masa depan penduduk Iran.’

Namun keghairahan telah terjejas oleh penyingkiran kebanyakan calon daripada kempen dan krisis ekonomi yang telah mencetuskan inflasi dan pengangguran, diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19.

Kumpulan pembangkang Iran di luar negara dan beberapa pembangkang tempatan telah menggesa pemulauan pengundian yang dilihat oleh mereka sebagai kemenangan dirancang untuk Raisi, ketua badan kehakiman, 60, untuk memperkukuh kawalan ultrakonservatif.

Penduduk lain berbaris untuk membuang undi di sekolah, masjid dan pusat komuniti, sesetengah mereka mengibarkan bendera kebangsaan Iran warna hijau, putih dan merah.

Keputusan pilihan raya dijangka keluar pada tengah hari Sabtu. Jika tiada pemenang muncul, satu pilihan raya kecil akan diadakan seminggu kemudian. – AFP

Gambar serahan laman web pejabat Presiden Iran menunjukkan Presiden Hassan Rouhani membuang undi dalam pilihan raya presiden di Kementerian Dalam Negeri di Tehran, Iran kelmarin. – AP